Pagi tadi sewaktu sedang bersiap untuk ke pejabat, saya terdengar siaran radio IKIM. Ada teka teki yang diutarakan.
"Apakah yang paling jauh dengan kita?"
Banyak jawapan yang diberi, dan akhirnya DJ memberi jawapannya. Teka teki ini adalah soalan Imam Ghazali kepada murid-muridnya.
Yang paling jauh dengan kita adalah masa lampau.
Kita sering mengenang saat-saat manis dan tidak kita lupa juga saat-saat duka yang pernah kita lalui. Pengalaman mendewasakan kita dan menjadikan kita manusia yang lebih baik.
Hari ini, saya terkenang perjalanan haji saya yang telah hampir lima bulan saya tinggalkan. Betapa rutin kehidupan di tanah suci menjadikan saya manusia yang jadi terlalu berahsia, pendiam dan menyendiri. Airmata terlalu mudah mengalir, hati saya begitu cepat tersentuh....Sukar untuk saya gambarkan apa yang telah saya alami, kerana ia juga dialami oleh kebanyakan manusia lain.....Bagi saya, rutin di sana berjaya mengubah diri saya.
Saya sukakannya. Saya rasa amat bahagia menjadi begitu. Reserved dan berhati-hati dalam berkata-kata, hatta berfikir pun jua. Di setiap patah perkataan yang dikeluarkan, sentiasa ada nama Allah - Insyaallah, Alhamdulillah, MasyaAllah, Subhanallah dan banyak lagi. Jika ada perkara yang menyebabkan bengkak di hati, pesanan Ustaz supaya sentiasa berlapang dada dan bersangka baik membuatkan jiwa kembali tenang dan perasaan bertambah indah.
Saya rindukan ketenangan itu. Saya rindukan perasaan itu. Saya mendambakannya. Rutin di sini seringkali membuai dan melalaikan saya. Banyak kali saya biarkan syaitan berjaya menguasai perasaan saya, terutamanya ketika memandu, ketika menunggu giliran, ketika bertukar pendapat...apatah lagi tika berkumpul beramai-ramai; kata-kata umpatan dan gosip amat mengganggu saya....
Mudah-mudahan saya berjaya mendekatkan hati saya kepada suasana indah yang telah saya tinggalkan. Andai kawan-kawan melihat rutin saya semakin jauh dari rutin di sana, tolong ingatkan saya.....
2 comments:
Salam Suria,
Perubahan yang membawa kebaikan, Alhamdulillah.
Salam Pak Zabs,
Terimakasih kerana sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya.....Saya bersyukur kerana Tuhan pertemukan kita sebagai sahabat....
Post a Comment