Saya sedang berkemas....Insyaallah akan menghabiskan hujung minggu yang panjang ini di satu situasi yang amat baru bagi saya.....Hehehe...saya akan pergi memancing!
Dua bulan lalu, saya dipelawa untuk menyertai sekumpulan anak muda pergi memancing di Tasik Kenyir. Memancing? Satu aktiviti yang teramat asing buat saya mahupun Boss. Berapa tebal tali pancing pun saya tidak pernah tahu....
Namun, saya teruja kerana saya dan Boss sebenarnya teringin sungguh untuk menikmati keindahan alam di Tasik Kenyir. Kami pernah ke sana duapuluh satu tahun dahulu. Waktu Nabilla masih bergigi dua....
Saya terkenang satu kisah. Kenangan ini datang sewaktu saya ditanya oleh seorang rakan di pejabat tentang aktiviti memancing yang akan saya ikuti ini.
Kisah ini berlaku di perpustakaan. Saya sedang mengisi masa-masa kecederaan sebelum tibanya hari peperiksaan. Seperti selalu, saya memang 'last minute'. Harapnya jangan ada anak-anak saya yang jadi seperti saya. Saya langsung tiada idea cara mana lagi yang boleh saya guna untuk paper "Management". Kalau setakat subjek Accounting, Economy, Costing, Taxation atau Finance tu mungkin cukup mudah buat saya. Management adalah subjek yang amat payah, termasuk juga subjek Law, Ugama, dan HR....Tersiksa sungguh saya menghadapi subjek-subjek tersebut...
Sedang saya asyik 'menelaah' pelajaran, saya terlihat seorang jejaka yang duduk betul-betul bertentang dengan saya. Kala itu hati kecil berkata, "Handsome...". Biasalah untuk seorang gadis...pastinya yang handsome menjadi tumpuan...
Dia sedang membaca "Reader's Digest". Dalam pada orang lain sibuk membelek buku dari kulit ke kulit, si handsome ini belek majalah. Kemudiannya saya nampak dia letak kepala di atas meja...Tidur dah dia....Pelik saya lihat, ada manusia sebegini di waktu genting ini.
Selepas beberapa ketika, saya tidak melihatnya lagi. Saya tumpukan perhatian kepada buku Management saya. Tiba-tiba ada seseorang mengambil tempat di sebelah saya. Oh...si handsome tadi. Duduk sebelah saya? Macam tak mau percaya...
Reader's Digest masih di tangannya. Saya toleh dan dia menghadiahkan senyuman manis kepada saya. Saya balas dengan senyuman juga.
Selepas beberapa ketika, dia nampak dia tersenyum-senyum sendiri sambil membaca Reader's Digestnya. Saya tertarik untuk melihat apa yang dibacanya. Lalu saya bertanya "Kisah apa tu?" Nama dia pun saya tidak tahu.
"Oh...ini kisah tentang pergerakan Gunung Everest. You tau tak yang Everest bergerak ......." Saya terlupa fakta tersebut.
Saya berminat untuk tahu lebih lanjut. Si handsome dengan penuh bersemangat menerangkan kepada saya fakta-fakta tentang gunung, sungai, laut, udara, angin dan banyak lagi kepada saya. Hilang kisah saya dan "Management".
Selepas lama bersembang, saya kembali menumpukan perhatian kepada nota-nota dan buku teks saya. Saya terasa dia mengintai apa yang saya baca.
Saya terlupa bagaimana dia boleh akhirnya mengajar saya 'killer paper' saya itu, tetapi saya cukup suka bila dia menunjukkan cara termudah dan tersingkat untuk menghabiskan keseluruhan silibas Management dalam masa sehari!
Akhirnya, kami berpisah selepas saya amat yakin yang saya mampu menduduki peperiksaan esok pagi. Saya terasa yang saya sudah pandai!
Saya kagum dengan 'general knowledge' si handsome tadi. Saya akui dia seorang yang tahu sungguh tentang 'subject matter'. Management adalah 'forte' dia sebagai pelajar degree Business Admin. Saya pula hanya seorang pelajar diploma yang cuma tahu mengira.
Kenapa saya mengimbas kembali kisah tadi? Rakan saya bertanya samada suami saya adalah kaki pancing. Suami saya adalah seorang yang amat berminat dengan alam semula jadi. Tanyalah dia tentang gunung, ikan, binatang, laut, sungai....panjang sungguh penjelasannya, dia tidak pernah memancing.
Kisah di dalam perpustakaan yang saya ceritakan di atas adalah detik mula perhubungan kami. Berbelas tahun selepas kisah itu terjadi, saya mendapat tahu bahawa dia sebenarnya SENGAJA duduk di tempat yang bertentangan dengan saya. Semua yang berlaku pada hari itu telah dirancang dengan teliti, termasuk juga Reader's Digest di tangan. Dia sudah lama memerhatikan saya dan dia tahu saya adalah seorang yang minat dengan apa yang diminatinya.....Dia memang seorang yang 'subject matter', pandai menggunakan 'niche' dan 'forte'nya di tempat yang betul...Jika dikaitkan dengan memancing, dia tahu "umpan' apa yang dia perlu ada supaya kailnya mengena....
1 comment:
ye ke? mana adaaaaaa.... kita baik tau
Post a Comment