Telah seminggu saya menyepikan diri dari menulis di ruangan ini. Banyak perkara yang berlaku di sepanjang minggu ini. Saya tidak berkesempatan dan tidak juga punya kemampuan berfikir tentang apa yang boleh saya tulis kerana keadaan amat menyesakkan dada saya.
Keadaan abang saya masih tenat. Beberapa hari lalu Doktor terpaksa melakukan pembedahan kecemasan ke atasnya kerana tekanan darahnya terlalu tinggi. Doktor terpaksa mengeluarkan cairan yang terkumpul di otaknya untuk mengurangkan tekanan. Kami berkampung di hospital. Semua orang ambil cuti kecemasan. Alhamdulillah sejak pembedahan di kepalanya, tekanan darah Abang Nasir agak stabil.
Dalam masa yang sama, adik saya Epah pula dimasukkan ke wad di DEMC. Ada yang tidak kena dengan tekanan darahnya yang terlalu rendah. Dia pitam sewaktu mengawasi peperiksaan akhir di Fakultinya. Dari satu hospital ke satu hospital kami berkejar. Kini Epah sudah pun kembali bertugas. Alhamdulillah.
Emak mertua saya juga tenat. Sayu hati melihat keadaannya yang kurus kering dan langsung tidak bermaya. Kami cuba menggembirakan hatinya dengan pelbagai cara, namun keadaannya tidak berubah. Pagi semalam kami mengusungnya kembali ke HTAR... Jimie yang mendukung Mak Toknya kata "Ringan je Mak Tok, Ma...". Rutin saya kembali seperti biasa, ke SMC selepas waktu pejabat dan bermalam di HTAR meneman Emak..
Namun, dalam duka ada gembira. Saya mendapat panggilan talipon jauh dari Dubai pada Hari Buruh lalu. Seorang sahabat yang tidak pernah saya kenali secara peribadi, menghubungi saya dan kami bersembang seolah2 kami telah kenal lama. Saya pembaca setia blognya, sesekali dia mengunjungi blog saya. Terimakasih atas perhatian yang diberi kepada saya. Saya amat menghargainya.
Negara kita juga kehilangan seorang yang penting minggu lalu. Tan Sri Nasimudin pergi meninggalkan legasi perniagaan yang unggul. Siapa sangka, dalam usia muda, Tuhan telah menjemputnya pulang...Moga dia ditempatkan dalam golongan orang yang soleh.
Harapan saya di pagi Isnin yang mulia ini ialah minggu ini dan seterusnya akan menjadi lebih baik dari hari2 yang telah berlalu. Harapnya tekanan dan perasaan yang menyiksakan akan berlalu segera dan diganti dengan kegembiraan...
No comments:
Post a Comment