Thursday, December 23, 2010

Doa yang dikabulkan...

Saya terima dua sms pagi tadi.

Satu berbunyi begini....

Thank u. All my wishes yang D minta Aunty tolong doakan di sana semua granted....

Satu lagi sms tiba beberapa minit selepas SMS pertama yang berbunyi begini:

Salam. Alhamdulillah. Syukur anak aku yang ambik PMR tu dapat 8A.

Kedua-dua mereka yang menghantar SMS ini mengirimkan doa supaya saya pohonkan di tanah suci. Saya ulang-ulang membaca amanah mereka, terutama pada hari Wukuf, dan pada setiap tempat yang mustajab doa....

Saya amat gembira kerana sahabat-sahabat saya gembira.

Jawapan saya pada mereka berdua:

"Praises to Allah. Alhamdulillah. Allah hu Akbar. JanjiNya memang pasti. Semoga kita sentiasa mendapat rahmatNya... Teruskan berdoa."

Tuesday, December 21, 2010

Keyakinan yang tinggi

Sewaktu menyedari saya tidak lagi berjalan di sampingnya, Boss mula berdebar. Pelbagai persoalan menerjah fikirannya. Ingin saja beliau lari ke belakang dan berpatah balik, namun beliau terikat dengan kerusi roda yang ditolaknya yang tidak memungkinkan beliau membuat 'instant reflection'. Apa yang dapat beliau lakukan hanya beristighfar berulang kali.

Boss segera merancang sesuatu dengan Kak We. Beliau yakin yang saya akan berada di spot-spot tertentu. Mula-mula, beliau panjat divider jalan, tempat askar-askar berdiri memerhati keadaan jalan. Beliau cuba mencari payung warna merah, namun yang kelihatan hanyalah lautan manusia.... (Nota: Selepas bertukar cerita, baru kami perasan yang pada ketika sama, saya berdiri di bawah tempat Boss berdiri...cuma di sudut lain, yang jaraknya cuma beberapa langkah....Bila berada di tempat tinggi, kita memang jarang melihat ke bawah...Kita melihat ke depan! Subhanallah!)

Selepas gagal mencari saya di situ, Boss meminta Kak We singgah dan mencari saya di salun tempat beliau bercukur pada 10 Zulhijjah (tahallul awal) sementara Boss menolak kerusi roda perlahan-lahan sambil memerhati. Kak We kemudiannya menunjukkan isyarat 'tiada'.

Boss beritahu Kak We "Dia akan tunggu di pintu masuk terowong". 21 tahun lebih bersama, Boss boleh baca tindakan yang bakal saya ambil. (Nota: Saya memang menunggu mereka di pintu masuk terowong!). Sampai di terowong, mereka tidak melihat saya. (Nota: Selepas bertukar cerita, rupanya mereka masuk ke terowong kanan, iaitu terowong Mekah-Mina yang dibuka untuk perjalanan Mina-Mekah, sementara saya menunggu di terowong kiri Mina-Mekah!) Petir dan guruh mula sabung menyabung. Boss ambil keputusan untuk meneruskan perjalanan melihatkan cuaca yang semakin buruk. Dalam hati beliau yakin yang saya akan berjaya pulang ke hotel dengan selamat.

Hujan yang lebat membuatkan sampah sarap terkumpul di tengah jalan di sepanjang terowong. Keadaan semakin sukar buat Boss untuk menolak kerusi roda. Boss mengambil jalan pintas, sambil berdoa memohon kemudahan dariNya - mengikut aliran air yang mengalir laju di bahagian tepi terowong. Perjalanan mereka semakin laju, selaju debaran di hati beliau.....

Akhirnya mereka sampai di dataran Kaabah. Logik akal berkata mustahil dapat berjumpa dengan saya di situ kerana manusia yang terlalu padat. Hujan masih turun, tetapi tidak selebat tadi. Boss kata pada Kak We, "Dia dah sampai hotel dah ni." Kak We balas, "Kalau dia tak ada?". Boss jawab, "Saya hantar Kak We dengan Abang Nasir sampai bilik, lepas tu saya patah balik susur jalan tadi....".

Dalam hati, Boss tidak berhenti-henti berdoa...."Kuatkan hatinya Ya Allah. Aku yakin dengan keupayaannya menghadapi ujianMu ini. Namun dia tidak akan berjaya tanpa izinMu Ya Allah. Berilah petunjuk padanya.....".

Sampai di meja reception, mereka dapati kunci bilik saya tiada. Ketiga-tiga mereka serentak mengucapkan Alhamdulillah. Mereka tahu saya telah pun selamat sampai. Boss terus naik ke tingkat 5 meninggalkan Kak We dan Abang Nasir di tingkat satu.

Boss cuba masuk ke bilik...berkunci. Lalu dilaungkan nama saya....Bila beliau terdengar suara saya menjawab, mahu saja dia melompat ke awan.....

Saya masih ingat pertanyaannya tatkala saya keluar dari bilik air....."Su mesti nangis kan?"

Sudah pasti saya menangis...bukan takut atau kecewa.... saya yakin Tuhan akan bantu saya. Cuma, itu lah caranya saya meluahkan kegundahan di hati....

Apabila dikenang kembali, kami berdua punya persepsi yang sama. Kami tidak menganggap apa yang berlaku sebagai hukuman; ia adalah ujian. Dan Allah menguji hambaNya untuk meningkatkan keimanan di hati mereka.

Saya sendiri amat bersyukur yang suami saya yakin dengan kemampuan saya, yakin dengan kesetiaan saya dan yakin dengan keyakinan saya....Mudah-mudahan kami tidak akan sekali-kali mendustakan nikmat yang Allah limpahkan kepada kami hingga ke akhirnya.....

Friday, December 17, 2010

Terpisah dalam lautan manusia

Satu kisah yang amat bermakna buat kami dalam perjalanan Haji kami....
__________________________________________________________

Di Dataran Masjid Nabawi yang tenang, nyaman, bersih dan syahdu.

Sewaktu mabit di Muzdalifah

Hari Wukuf di Padang Arafah

12 Zulhijjah. Boss menolak kerusi roda Abang Nasir. Saya dan Kak We mengiringi mereka. Kami melalui terowong Muassim menuju ke Jamrat. (Sebelum itu.... kami berjalan kaki pulang ke Mekah selepas waktu zohor kerana bas yang dijanjikan sejak pagi tidak muncul.)

Jalan terlalu sesak. Kami teruskan berdoa agar perjalanan kami dipermudahkan. Kami keluar awal kerana tidak mahu perjalanan tertangguh. Untuk Nafar Awal, kami kena tinggalkan Mina sebelum waktu Maghrib.

Biarpun sesak, kami tidak merasakan kesukarannya. Kami melepasi Jamrat (Nota: khemah-Jamrat: 3km)di waktu afdhal. Sebenarnya, itu perjalanan kedua kami hari itu. Selepas subuh sebelum itu, kami telah menyiapkan lontaran di ketiga-tiga jamrat. Maknanya, kami telahpun berjalan sejauh 6 km (pergi balik) dan kini kami berjalan lagi. Keluar dari jamrat, kami berjalan dengan langkah yang amat perlahan menuju terowong pejalan kaki yang menghubungkan Mina dan Mekah. (Panjangnya 7km). Cuaca agak redup. Jutaan manusia di hadapan dan belakang kami. Terpegun dibuatnya.

Sambil berjalan kami bersembang. Saya pegang payung warna merah. Sesekali saya payungkan Boss, banyak kalinya saya payungkan orang lain (kerana terlalu sesak!). Sedang kami leka, tiba-tiba saya kehilangan mereka! Berderau darah saya. Di mana mereka?

Saya mula bercakap sendiri...sambil berdoa dan merayu pada Dia agar saya ditemukan kembali dengan mereka. Saya terlihat beberapa orang askar berdiri di atas tembok di tepi jalan. Saya berdiri di bawah askar-askar tersebut, menunggu dan mengharap saya dapat melihat mereka. Sambil itu, tangan saya tidak putus-putus mengangkat payung merah saya....

Rasanya sia-sia saya tunggu di situ kerana lautan manusia bagaikan ombak, bergerak ke menuju arah yang sama. Lalu saya dekati sepasang suami isteri bangsa Indonesi. "Pak, boleh saya ikut Bapak? Saya terpisah sama suami saya..." saya merayu kepadanya. Kelihatan Bapak Indonesia itu agak keberatan untuk membantu saya. Lalu saya teruskan berjalan sendirian sambil terus berdoa kepada Allah, berulang-ulang...

Oh Tuhan...aku takut sendirian Ya Allah... Di mana mereka? Selamatkan mereka Ya Allah...

Tiba-tiba saya disapa satu suara lelaki berbahasa Indonesia.....

"Ibu mahu ke mana? Jangan menangis, Bu. Biar saya temani Ibu. Nama saya Abdul Rahman, orang Indonesia tapi sudah 9 tahun bekerja di sini. Ibu orang mana?"

Alhamdulillah. Ada yang prihatin dengan saya. Selepas saya perkenalkan diri, Abdul Rahman mula berjalan di samping saya. Tetapi, saya tetap resah, dan saya mula berjalan ke kiri dan ke kanan.

Andul Rahman kemudiannya menarik bahu saya dan memegang kedua bahu saya dengan kuat.

"Ibu...tenang saja. Nanti saya hantarin Ibu ke terowongan. Tunggu saja Bapaknya di sana atau Ibu boleh pulang terus ke hotel. Jangan begini Bu. Biar saya temani dan jagain Ibu." Abdul Rahman cuba menenangkan saya.

Saya pasrah. Saya ikut kata-katanya. Sempat saya pinjam talipon Abdul Rahman dan cuba menalipon kak We. Bateri talipon saya dah lama mati. Saya hanya tulis nombor Kak We dalam buku nota saya. Malangnya, tiada network di kawasan itu.

Setelah sampai di terowong, Abdul Rahman meninggalkan saya. Saya berdiri sambil menanti.... Saya terdengar bunyi guruh yang berdentam dentum sekuat-kuatnya. Kelihatan kilat sabung menyabung. Seketika itu juga saya lihat debu dan sampah berterbangan ke atas....Alamak...puting beliung ke?

Saya ambil keputusan untuk terus berjalan ke Masjidil Haram dan pulang ke hotel. Ada kemungkinan saya akan bertemu dengan mereka jika mereka masih di belakang. Tetapi, andaikan mereka sudah di depan saya, saya tidak akan bertemu dengan mereka.

Sambil berjalan, saya asyik jolok payung saya ke atas. Jalan masuk ke terowong bertambah sesak kerana hujan sudah mula turun selebat-lebatnya. Sedang saya melayan perasaan begini...berulang-ulang....

Tuhanku...aku tetamuMu, Ya Allah. Aku tahu Kau tidak akan persia-siakan aku Ya Allah. Mudahkan urusanku...Jangan Kau timpakan bahaya padaku yang lemah ini Ya Allah. Aku gantungkan segala-galanya kepadaMu Ya Allah.... Aku juga tahu Ya Allah yang Kau tidak akan bebankan aku dengan bebanan yang tidak mampu ku pikul Ya Allah. Aku yakin dengan janjiMu Ya Allah....Mudahkan urusanku Ya Allah. Jangan Kau sulitkan....Tolonglah aku Ya Allah...

sekilas saya terpandang jubah jalur-jalur sedang mengekori saya. Saya percepatkan langkah ke kiri...tidak berani untuk menoleh. Alamak...jubah ni masih di sebelah. Saya lari ke kanan...dia di kiri saya. Saya menyusup di celah orang ramai....Lega. Tiba-tiba saya terpandang jubah yang sama di kanan saya....

Tuhan...tolong aku Ya Tuhan....Bantulah aku...itu rintihan saya...

Terperanjat saya melihat satu wajah berada betul-betul di depan saya. Seraut wajah tampan seorang pemuda Arab yang tinggi lampai hampir membuat saya pengsan. Saya capai tuala Good Morning dari beg galas saya dan saya ikat di muka saya. Hanya mata yang kelihatan. Saya tidak mahu dikenali.

"Indonesia?" Dia bertanya.

"Malaysia" saya menjawab.

Kemudiannya kami berbicara seperti orang bisu. Dia bertanya samada saya sendirian. Bila saya angguk, dia geleng. Melalui bahasa tangannya, saya faham yang dia mahu menenami saya kerana bahaya untuk saya berjalan sendiri.

Saya angguk dan dia kemudiannya berjalan di kanan saya. Saya merayu kepada Tuhan...

Ya Allah. Kehormatanku di tanganMu Ya Allah. Jauhkan aku dari segala bahaya Ya Allah. Jika ada sedikitpun niat buruk di hati Mamat di sebelahku ini, Ya Allah, Kau gantikan niat itu kepada niat mahu membantuku Ya Allah. Tolonglah aku Ya Allah. Peliharalah kehormatanku Ya Allah...

Pemuda Arab tadi asyik menarik tudung saya dan jubah saya setiap kali saya 'terkeluar' dari kawalannya. Saya rimas dengan tarikan dan kadangkala cuitannya. Lalu saya tarik tangannya dan saya letakkan di atas kedua2 bahu saya. Seketika kemudian, saya terasa yang langkah saya makin laju. Dia buat seolah-olah saya adalah motornya... Diselitkannya bahu saya di celah-celah orang yang padat, dan badannya yang besar tinggi memberinya kelebihan....

Akhirnya, saya sampai ke dataran masjid dalam masa kurang setengah jam....Betapa bersyukurnya saya kerana Tuhan memang mudahkan urusan saya. Hujan lebat tidak menghalang saya untuk mengharung air yang sampai ke paras buku lali. Lantai yang licin hampir membuat saya terjatuh beberapa kali....namun si Arab di sebelah saya selamatkan saya dari terjatuh. Dia kemudiannya meminta diri untuk masuk ke dalam Masjid melalui pintu Safa.

Saya angguk dan kata "Thank You". Dia hanya tersenyum.

SUkarnya untuk berjalan di atas lantai marmar yang terlalu licin dan orang yang terlalu ramai. Saya dikelilingi jemaah lelaki yang kebanyakannya Pakistan/India/Bangla dan Arab.

Tuhanku...mudahkan Ya Allah...mudahkan....Tak putus-putus saya berdoa.

Tiba-tiba saya terasa bahu saya dicuit. Oh...Arab tadi! Dengan bahasa isyarat, dia katakan yang hatinya tidak senang melihat saya terhimpit...

Saya tersenyum. Lalu dia berjalan di sebelah saya dan sesekali dia tarik tangan saya jika ada yang menghimpit atau ketika saya hampir terjatuh kerana licin. Akhirnya, kami sampai di pintu No 1, pintu King Abdul Aziz. Dia kemudiannya meminta diri.

Saya katakan padanya "Thank you. Thank you. Only Allah can repay you. I can't." Sambil saya tunjukkan ke atas.

Dia menjawab, "Syukran. Alhamdulillah."

Saya hayun langkah seribu. Saya jalan selaju-lajunya. Sampai di hujung dataran, saya toleh dan saya lihat dia masih di situ...memerhati saya. Dalam hati saya mengucapkan kesyukuran kerana Allah menghantar dua 'malaikat' untuk menemani dan membantu saya..... Subahanallah....

Saya berlari menuju ke hotel yang hanya 200 meter dari dataran masjid. Saya ambil kunci bilik dan terus ke bilik air. Sambil itu saya tidak putus-putus berdoa agar Allah selamatkan Boss, Abang Nasir dan Kak We. Janganlah hendaknya mereka berpatah balik untuk mencari saya.....

Sebaik saya selesai mandi, saya terdengar suara yang saya nanti-nantikan...

"Su! Su!"

Saya jawab, "Abang!Su dalam ni!!!!"

Saya terus keluar dan kami saling berpelukan sambil saya menangis teresak-esak.

Terimakasih Ya ALlah kerana telah menemukan kami kembali....Jangan Kau pisahkan lagi aku dan dia....sakit rasaya Ya Allah!.

Saya bersyukur yang amat sangat kerana kami berjaya mengharungi ujian Allah ini...

Saya akan ceritakan apa pula kisah dia di sepanjang perpisahan kami selama satu setengah jam itu.....di entri selepas ini....

Si Kecik mesti suka...

Teringat zaman kecil saya....balik sekolah bawa report card...masa tu saya darjah 3. Tak sabar nak tunggu Bapak balik kerja. Sampai rumah saya terus mandi dan bersiap. Lepas tu asyik tanya Mak pukul berapa Bapak nak balik. Bila Mak tanya kenapa, jawab saya, "Adalah...".

Bila saya dengar motor Bapak, saya berebut tunggu Bapak atas tangga dengan report card di tangan. Belum sempat Bapak naik ke rumah, saya dah hulurkan report card dan minta Bapak buka.

Sebaik saja Bapak tengok report card saya, dia terus pakai semula helmet dan ajak saya naik motor. Mak senyum saja melihat kami beredar. Rasanya dia tahu kut....Saya peluk Bapak kuat-kuat di atas motor Vespa BW 248....Bapak bawa saya ke Kelang. Dia belikan saya jam tangan pertama saya, berjenama Pagol, berharga RM60. Ianya adalah hadiah kerana saya berjaya mendapat tempat pertama bagi seluruh darjah tiga, dengan markah keseluruhan 100%! Saya simpan jam itu hinggalah ianya hilang bila beg tangan saya diragut pencuri pada tahun 2002...kerana saya simpan jam kesayangan saya itu di dalam beg tangan....

Jika anda berminat untuk menghadiahkan jam tangan buat si kecik yang anda sayangi, masuklah ke link di bawah.....Dia pasti gembira dan akan sentiasa mengingatinya seperti saya mengingati detik yang bersejarah dalam hidup saya....


Thursday, December 16, 2010

Getting started....

Cantik kan iPod ni...macam-macam boleh dibuat.....Kalau dapat memilikinya, lagi cantik....

Si Kecik mula menyanyi...

Abo yang rongak di tengah2 barisan giginya sedang menyanyi....

Air pasang dalam surut pukul lima
Nyonya bangun pagi siram pokok bunga....


Sambil tu dia melompat-lompat di atas kusyen. Saya suka melihat dia gembira.

Sekejap tadi dia sapu seluruh mukanya dengan bedak sejuk. Macam pontianak....

Dia buat saya rasa gembira
Dia buat saya bahagia
Apapun jua yang berlaku
Saya bersyukur kerana Tuhan beri dia pada saya....

Sepanjang 46 hari saya tiada, saya diberitahu yang dia akan menangis dalam tidurnya...dan dia pernah beritahu Aunty Liza kesayangannya begini:

"Kalau Mama saya balik, saya nak peluk dia tak nak lepas-lepas."

Dia juga tidak mahu minum teh susu sepanjang kami tiada, kerana katanya:

"Papa suka minum air ni. ABo tak nak minum sebab nanti Abo ingat kat Papa..."

Kini, dia sudah pandai menyanyi kembali...dan tidur malamnya sentiasa lena hingga ke pagi. Dia seboleh mungkin akan mengekori saya walau ke mana saya pergi dan dia sudah mula minum teh susu.....

Tuesday, December 14, 2010

Lamanya berehat....

Lama sungguh saya menyepi...Kata omputih, saya gi "Soul Searching". Iye ke? Betullah tu...

Sejak 16 Oktober 2010 hingga 1 Disember 2010, saya dan Boss berada di tanah suci mengerjakan fardhu Haji. Alhamdulillah segalanya telah selesai. Kami berdua amat bersyukur kerana dapat melaksanakan satu kewajipan dan tentu sekali kami rasa terharu kerana kasih sayang Allah kepada kami hingga kami dapat bertamu ke rumahnya....makan minum tidur baring segala.... Tidak terhingga ucapan kesyukuran kami kerana dalam kepayahan, Allah beri kami kemudahan....sebanyak-banyaknya.

Apa yang kami pelajari di sana? Subhanallah, tidak terkira banyaknya. Insyallah jika ada kelapangan masa dan keazaman yang kuat, akan saya kongsikan pengalaman saya tatkala menjadi tetamu Allah....

Apa yang boleh saya simpulkan, perjalanan haji kami hampir keseluruhannya dipermudahkan. Andai ada peluang, tentu sekali saya dan Boss mahu pergi lagi menunaikan haji...kalau boleh setiap tahun. Istimewa sungguh rasanya....

Satu yang pasti - saya telah campak jauh-jauh hati saya yang penuh dengan kekotoran dan saya telah gantikan dengan hati yang baru...Mudah-mudahan ia kekal bersih berseri...

Monday, October 11, 2010

Perjalanan Hidup

Aku yang masih di perjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi

Aku yang masih di perhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara ke serata dunia
Mengejar siang dan malan
Surut dan pasang
Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian

Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan milikku
Oh tuhanku

Indungilah hambaMu yang hina ini
Aku setia hanya padaMu
Oh Tuhanku….


Lirik lagu Ramli Sarip yang menggambarkan perasaan yang sama dengan perasaan ini....

Thursday, October 7, 2010

Munajat seorang penyair

Hassan bin Tsabit r.a. bermunajat kepada Rabbnya di tengah malam dengan melantunkan:

Aku ada di pintuMu dan takkan pergi menuju yang lain
Akan ku rajut bajuku dengan keridhaan dan aku berbangga telah menjadi hambaMu
Dan ketika ditanya "Siapakah Rabbmu", aku pun berbisik dalam keheningan fajar
Bahawa Rabbku adalah Pencipta alam raya yang takkan pernah aku tinggalkan
"Rabbi, wahai Pembuka fajar, aku terhormat menjadi hambaMu"


"Ibadah Sepenuh Hati" Amru Khalid, 2005.

Wednesday, October 6, 2010

Kuasa Doa

Kami beraya ke rumah seorang kenalan, Abang MZ, baru-baru ini. Puas hati dihidang dengan makanan N9 yang menyelerakan....ayam kampung masak lemak cili api, jantung pisang masak lemak, sambal udang petai...dan ubi kayu rebus yang dimakan dengan air gula...Pergghhh......

Sambil makan kami bersembang. Macam-macam yang kami bualkan, banyaknya tentang kisah Haji...kebetulan ada jiran Abang MZ yang akan berangkat tidak lama lagi sama-sama makan dengan kami.

Apa yang menarik perhatian saya ialah cerita tentang seorang jiran Abang MZ, A, yang ditimpa sakit....akibat dari pembedahan 17 tahun lalu. Pembedahan akibat slip disc yang mengakibatkan otot-otot kaki beliau mengecut sehingga sarafnya mati....

Sehari sebelum Ramadhan, A dibawa ke hospital kerana tidak boleh bergerak langsung. Doktor di HUKM kemudiannya mengambil keputusan untuk memotong kedua-dua belah kaki A. Abang MZ yang menerima perkhabaran tersebut kemudiannya meminta pihak surau kariah beliau mengadakan solat hajat selepas solat tarawikh pada malam 3 Ramadhan. Kuasa Allah, malam itu, jemaah surau terlalu ramai...lebih 2000 orang hadir dan bersama-sama bersolat hajat memohon agar A diselamatkan.

Keesokan harinya, Abang MZ mendapat SMS yang kaki A tidak jadi dipotong. Entah bagaimana, tiba-tiba saraf yang sudah didiagnos mati, berfungsi dan saluran darah dapat membawa darah hingga ke hujung kaki....

Ketika Abang MZ menziarahi A, beliau bercerita bagaimana tiba-tiba beliau terasa denyutan di kedua-dua belah kakinya pada malam solat hajat itu dilakukan, setelah beberapa lama beliau tidak merasa apa-apa pada kedua-dua belah kakinya.....

Kami yang mendengar cerita Abang MZ ternganga....itulah kuasa doa...dari jiran tetangga yang prihatin dengan kesusahan yang dihadapi oleh A....

Kini A sudah boleh berdiri dan keadaannya semakin pulih....Subhanallah!

Thursday, September 30, 2010

Insya Allah

Saya suka dengar lagu nyanyian Maher Zain...biar siapa pun dia...Yang menjadi kesukaan saya adalah lirik lagu ini....yang berbunyi, antaranya begini:

Everytime you feel like you cannot go on
You feel so lost
That you’re so alone
All you see is night
And darkness all around
You feel so helpless
You can’t see which way to go
Don’t despair and never loose hope
Cause Allah is always by your side
Insha Allah x3
Insya Allah you’ll find your way


Kami (saya dan Boss) dilanda kebuntuan baru-baru ini. Bengkak mata orang tahu kita menangis, bengkak hati tiada siapa yang tahu...

Tuhan menguji kami dengan ujian yang bertalu-talu, kata orang putih, one after the other.

Saya yakin ia bukan kifarah. Ia bukan musibah. Ia ujian.

Saya berdoa dan terus berdoa "Oh Tuhan...apakah ujianMu ini adalah untuk membuatkan aku menjadi lebih kuat atau untuk aku mengalah? Sesungguhnya aku yakin Kau tidak akan membebankan aku dengan beban yang tidak mampu ku pikul....maka aku pohon, dengan segala kerendahan hatiku....mudahkanlah urusanku Ya Allah..."

Setiap saat saya meminta kemudahan dariNya. Adakala saya meratap, kadang saya menangis tersedu-sedu, selalunya saya menangis dalam diam sambil airmata mengalir deras, selalu juga saya bercakap sendirian....Saya yakin saya akan berjaya mengatasi kesulitan ini...namun saya juga sedar....Saya hanya manusia yang teramat lemah. Fikiran saya dengan mudah dikuasai rasa bimbang, takut, kecewa, sedih, dan segala perasaan negatif....walhal keyakinan saya kepada janji Dia cukup tinggi...itulah... selagi saya bernama manusia, kelemahan itu tetap ada. Istighfar...istighfar... istighfar...Kekuatan akan datang sendiri....

Syukur alhamdulillah. Kesulitan dan ujian yang turun one after the other, mampu kami atasi dengan cara one after the other. Tidak boleh buat 'sekali rap', kata orang kampung saya....Bertenang, berfikir dengan akal, ikut gerak hati dan bukan mengikut perasaan.....

Bila kita pecahkan satu persatu mengikut kepentingan dan keutamaan, Insya Allah, perkara yang nampak terlalu sukar sebenarnya mudah.....

Bagaimanapun, apa yang saya dan Boss alami sejak seminggu sebelum hari raya adalah bukti bahawa 'miracle happens'.Miracle kerana otak kami yang dangkal dan singkat tidak mampu membayangkan bagaimana kesulitan itu mampu kami atasi....

Terimakasih kepada mereka yang sama-sama mendoakan kami. Keberkatan doa mereka yang menyayangi kami adalah penawar kedukaan. Saya pasti bukan balasan atau ganjaran yang kita semua harapkan, tetapi rahmat dari Yang Esa....

Turn to Allah
He’s never far away
Put your trust in Him
Raise your hands and pray
OOO Ya Allah
Guide my steps don’t let me go astray
You’re the only one that showed me the way,

Wednesday, September 22, 2010

Hendak pergi dan Dapat pergi...

Sepanjang musim Raya yang sedang berlangsung ini, sana sini terdengar berita si polan dan si polan "dapat pergi Haji".

Pagi tadisaya terima perkhabaran melalui SMS. Kawan lama, Ita, mengkhabarkan yang Faezah 'dapat pegi tahun ni". Di sana sini, saudara mara, jiran tetangga, sahabat handai...masing-masing menggunakan perkataan "Dapat Pergi".

Saya terfikir....

Seseorang yang mendapat surat tawaran mengerjakan Haji pada sesuatu musim Haji semestinya amat gembira kerana dalam pada orang lain hendak pergi...mereka Dapat pergi.

Perasaan halus mula menyelinap dalam diri... Jika kita menang atau dapat apa-apa, mudah sungguh kita kata "Aku dah buat betul-betul. So, aku dah menang sebab dapat". Namun, ketika menatap surat tawaran mengerjakan Haji, perasaan yang datang berkata begini.... "Syukur padaMu Ya Allah... Kau jemput aku yang serba kekurangan ini....". Biar bagaimana tinggi sekalipun kehendak untuk mengerjakan Haji... hanya Dia yang akan menghantar surat jemputan memaklumkan yang kita "Dapat"....Subhanallah.

Ini adalah satu kemenangan melawan nafsu, perasaan dan rasa besar diri.... Dapat pergi haji adalah impian semua orang.... Banyak beza antara 'hendak' dan 'dapat'.

Friday, September 17, 2010

Adat Berziarah di Hari Raya

Di sepanjang kehidupan ini, saya diajar dan mengajar tentang satu perkara: menziarah dan memberi hadiah kepada yang lebih tua di hariraya, di waktu orang dalam kesusahan, di waktu kelahiran bayi...

Arwah Mak yang amat mengambil berat tentang perkara ini. Di sepanjang hariraya, kami akan dikerah menziarah semua rumah makcik pakcik dan jiran-jiran tetangga... Sebelum balik, salam dinasihatkan berisi...bukan salam kosong.

Bagi Mak, sedikit yang kita hulurkan kepada orang tua akan dibalas dengan doa...Itu yang paling penting. Jika kebetulan orang tu tak sihat, apa yang kita hulurkan akan boleh digunakan untuk beli panadol ke....

Subhanallah. Mak memang hebat. Perkara sekecil itu sentiasa menjadi keutamaan baginya. Menggembirakan insan lain adalah agenda utama kehidupannya.

Saya agak terkilan kerana anak-anak seakan lupa kepentingan menziarah orang tua ini. Sebagai makcik, saya menanti kunjungan anak-anak saudara. Tidak perlu tunggu rumah terbuka atau makan-makan untuk menziarah.

Seperti yang pernah saya tulis dulu, kadangkala hati orang tua ini terguris bila melihat anak-anak muda lain membelikan hadiah buat makcik pakcik di kampung... biarpun hanya sebiji kerongsang berharga RM5. Teringin sungguh menerima hadiah dari anak saudara yang saya tukarkan lampinnya dulu...hayun buaiannya ketika masih dalam pantang, buatkan susu, bawa naik basikal, belikan aiskrim....

Di mana anak-anak saudara yang kebanyakannya berijazah? Adakah kehadiran Makcik Pakcik ini menyusahkan? Kami sentiasa menanti dengan penuh kasih sayang... Janganlah hendaknya asyik menjunjung langit hingga lupa bumi yang dipijak...

Monday, September 13, 2010

Dimensi baru kehidupan

Duit Raya

Saya terpanggil untuk menyertai pertandingan menulis yang dianjurkan oleh seorang blogger dermawan, Pak Payne, sempena harilahirnya pada 26 Ogos lalu. Syaratnya: penulisan tentang Ramadhan yang paling mengesankan. Tidak kurang dari 2608 patah perkataan dan hadiah utama RM2608.

Sebaik membaca notis tersebut, saya mula menulis. Menulis dan menulis tanpa henti. Saya mula menulis selepas solat Maghrib dan mengakhirinya setakat 2696 patah perkataan pada pukul 1045 malam, dan selepas membaca semula sekali lalu, saya emailkan tulisan saya.

Saya lupa tentang penyertaan saya sehinggalah saya dikunjungi oleh Pak Payne dan anak terunanya, Adlil, pada tengahari 7 September. Pak Payne menghulurkan tangan dan mengucapkan tahniah. Saya agak terpinga-pinga....dan bibir saya terasa kaku....

Saya menangis....tentunya di dalam hati. Malu untuk mengeluarkan airmata di hadapan insan mulia itu... Tulisan saya adalah sesuatu yang sangat ekslusif... Saya menulis dari hati... Kehilangan kasih yang pergi untuk selamanya di satu hari di bulan Ramadhan berbelas tahun lalu. Saya khabarkan kemenangan ini kepada Boss dan anak-anak...dan saya minta mereka baca tulisan kemenangan saya itu yang dipaparkan di blog Pak Payne. Saya dapat lihat mata Lala yang berkaca...tentunya menangis. Boss memeluk erat kepala saya selepas beliau membacanya... Jimie kata..."Ma, jadikan kisah ini novel, dan royalti dari tulisan Mama boleh dijadikan pendapatan buat mereka..."

Hadiah kemenangan saya itu adalah duit Raya Amira, Akmal dan Afiq.... mereka menerimanya dengan sedu sedan selepas membaca penceritaan saya. Bila saya war-warkan kepada ahli keluarga yang lain...mereka juga kehilangan banyak airmata ketika membaca... Ita? Dia tidak mampu mengeluarkan kata-kata. Dia meraung sebaik menarik saya dalam pelukannya di hariraya pertama lalu... Semua yang melihat juga menangis...Oh Tuhan. Ampunkan aku....Aku bahagia dengan nikmat yang Kau beri padaku.

Alhamdulillah...ini cubaan pertama saya menulis setelah sekian lama. Hasilnya cukup lumayan. Saya akan teruskan, Insyaallah.....

Khabar paling istimewa dan berharga

Saya mendapat perkhabaran. Tidak dapat digambarkan rasanya. Tiada kata seindah bahasa untuk dilafazkan.

Yang paling ketara, saya ketakutan. Saya sesak nafas dan sebak dada.

ALhamdulillah, saya mendapat surat tawaran menjadi tetamu Allah di musim Haji ini bersama Bos, Abang Nasir, Kak We, Kak Non dan Abang Husin.

Ketika membaca baris-baris ayat di dalam surat Tabung Haji, saya hanya nampak tulisan yang kabur.... Airmata mengalir deras. Subhanallah.... Maha suci Allah... Saya terlalu sebak.

Saya angkat talipon. Saya khabarkan kepada dua insan yang sering bersama saya... dan Haji adalah sesuatu yang amat istimewa kepada mereka. Prof MKI dan Kak Connie. Prof kata... Alhamdulillah. Tahniah. Kak Connie menangis, katanya... "Congratulations dear... You never give up hope... Buat sujud syukur right away."

Saya rasa kerdil. Saya rasa terlalu banyak dosa. Saya selalu leka dengan helah dunia. Saya mahu berhijrah, menjadi manusia yang lebih baik. Saya amat mengharapkan rahmatNya. Saya amat mengharapkan keampunanNya.

Doakan saya mendapat kemudahan dalam segala urusan saya. Doakan saya agar saya berjaya dalam menempuhi dimensi baru kehidupan saya....Saya amat bersyukur.

Thursday, September 2, 2010

Kenangan Raya (2) – Rempeyek

Rempeyek @ Tempeyek adalah sejenis kuih yang menjadi kegemaran masyarakat Jawa di Malaysia. Namun kini ia menjadi pilihan semua orang. Ianya merupakan sejenis kerepek atau makanan ringan yang selalu dihidangkan pada musim perayaan atau kenduri.

Mak mahir dalam membuat rempeyek. Seperti juga bahulu, Mak akan sediakan rempeyek bertin-tin untuk Hariraya. Jika bukan hariraya, Mak akan mengambil tempahan dari pelanggan.

Oh ya. Sebelum lupa, Mak sentiasa menyiapkan sebanyak-banyak kuih untuk hariraya bukan kerana tamak haloba. Rumah Mak sentiasa menjadi tumpuan sanak saudara sepanjang hariraya. Belum lagi orang-orang kampong.

Siapa Mak dan Bapak ni? Selain dari ibubapa kepada 10 anak, mereka juga punya anak-anak saudara yang betul-betul ramai. Seingat saya, adik-beradik Mak masing-masing beranak ramai. Kebanyakannya ada lebih lapan orang anak! Mak dan Bapak juga ada ramai anak angkat. Rumah kami juga menjadi tempat berteduh kepada saudara mara yang belajar atau bekerja di Kuala Lumpur...

Di kampong pula, Mak selalu membantu anak-anak kecil yang terseliuh, demam, salah urat dan sebagainya dengan kepandaiannya mengurut. Yang istimewanya, Mak tidak mengurut orang dewasa. Hanya anak-anak. Kata Mak, itu janjinya sewaktu menuntut ilmu mengurut dari arwah neneknya – untuk membantu anak-anak. Upah @ pengeras Mak mengurut hanya 2 sen setengah…. Selalunya orang kampong beri Mak 50 sen sekali urut…Dan Mak tersenyum setiap kali anak-anak tadi kembali cergas bermain….

Rempeyek diperbuat dari tepung beras yang diadun dengan santan, dicampur dengan garam, ketumbar dan jintan yang ditumbuk lumat, dan telur yang dipukul ke dalamnya untuk menjadikannya rangup. Selepas itu, Mak akan membahagikan adunan tadi ke dalam bekas yang lebih kecil, barulah dimasukkan kacang tanah dan ikan bilis ke dalam mangkuk kecil tadi.

Akan ada dua kuali di atas dapur. Satu kecil dan satu besar. Sesenduk adunan tepung dan santan tadi yang dikaut kacang tanah dan ikan bilis, dimasukkan ke dalam kuali kecil yang telah panas yang berisi sedikit minyak, dibiarkan seketika sehingga menjadi bulat dan separuh masak dan kemudian dipindahkan ke dalam kuali besar yang penuh berisi minyak dan dibiarkan sehingga garing sebelum diangkat.

Proses membuat rempeyek ini memakan masa yang amat panjang. Sekampit tepung beras boleh jadi beratus-ratus keping rempeyek. Kalau 10 kampit tepung? Ye…Mak akan mengadun 10 kampit tepung setiap kali membuat rempeyek…. !

Menggoreng rempeyek tidak sesukar memasak bahulu. Selain dari membuat kerja sambil duduk, saya juga berada di dalam dapur yang jauh lebih sejuk dari berdiri di depan bara…. Namun, kebosanan melanda setiap kali saya tumpukan perhatian kepada rempeyek… Kadang-kadang, Kak Non dan Kak Wie akan mengajar saya membuat trick…. Kami akan menuang adunan sedikit demi sedikit ke dalam sinki…supaya cepat habis… Malangnya, Mak bukan peduli dengan adunan, beliau amat mementingkan output…. Jika dilihatnya rempeyek yang sudah siap tidak mencukupi (selalunya 5 tin biskut empat segi yang besar tu…), maka Mak akan membancuh lagi adunannya…. Maka, sia-sialah usaha kami yang kreatif tadi!!!

Bila agaknya kuih muih Mak ni habis? Seawal HariRaya kedua!

Tiap kali Raya, rumah kami penuh padat dengan tetamu. Hinggakan nak berjalan dari satu tempat ke satu tempat pun kena berjinjit-jinjit. Selalunya saya dan Kak Wie akan menyambut HariRaya dengan kain batik dan T-Shirt kerana tugasan kami adalah menyiapkan minuman, makanan, dan membasuh pinggan. Non-stop sehinggalah tengah malam…. Kami jarang keluar berjalan di hariraya…. Tetamu Mak yang datang tidak putus-putus amat ‘mengujakan’ kami….

Namun kini, rumah Mak terlalu sepi…. Tiada lagi kunjungan saudara mara dan sahabat handai… Yang tinggal hanya kenangan. ‘Rumah’ kekal Mak dan Bapakdi kaki bukit redup ditutupi daun-daun dan bunga kemboja yang gugur ditiup angin dan pokok-pokok getah yang berada di sekeliling. Hanya dengan dua tiang yang menjadi penanda, berderet-deret dan berjiran dengan ramai saudara mara lain…..

Semoga Mak dan Bapak bahagia di sana…..

Wednesday, September 1, 2010

Kenangan Raya (1) - Bahulu

Arwah Mak cukup suka buat kuih. APa lagi kuih Raya.

Bila tiba waktu kecederaan macam sekarang ni, Mak pulun sediakan kuih punyalah banyak. Mula-mula Mak akan kumpul telor ayam. Ayam peliharaan Mak ada beratus-ratus ekor. Mereka tidur atas pokok, dalam almari, dalam pasu, dalam reban....

Mana-mana ayam yang bertelor, Mak akan asingkan. Sepanjang masa saya akan dengar ayam memekak. Telor sebiji riuh sekampung...

Setiap pagi, Mak akan pusing mengutip telor-telor ayam ni. Sekali kutip, rasanya tak kurang 30 biji! Kalau bukan waktu buat kuih Raya, Mak akan jual di kedai atau akan ada orang kampong yang datang membeli terus dari Mak.

Sekali buat kuih bahulu, Mak akan kumpulkan sekurang-kurangnya 100 biji telor! Punyalah banyak! Kemudian Mak akan jemor tepong gandum dan gula. Tujuan? Supaya adunan menjadi ringan dan cepat kembang....

Sesudah sahur, Mak akan mula memukul telor dalam pasu besar dengan pemukul yang berbentuk 'spiral'. Tak tau apa namanya...

Mak akan pukul telor dan gula sampai kembang...yakni, sampai penuh pasu tadi! Mula-mula seronoklah, masuk jam kedua dan seterusnya...aduh! Macam popeye lengan dibuatnya!

Bila siap untuk dibakar...yeah! Tekanan bermula. Mak akan masak bahulu menggunakan dapur kayu! Nak hidupkan api adalah siksaan yang teramat. Mula-mula letak getah sekerap yang diambil dari pokok getah belakang rumah...Lepas tu...puuuhhhh.... puuuhhh...berasap dan berair mata dan kepala! Selalunya aktiviti ini bermula pukul 8 pagi...

Lepas tu Mak akan cari sabut kelapa yang banyak di belakang rumah...Aduh...bila masuk sabut, asap tak boleh sebut.... Menangis dibuatnya!

Selepas api naik cantik, maka Mak akan mula masukkan sesenduk adunan tepung+telor+ gula tadi ke dalam acuan. Sesenduk??? Bila tahun nak habiskan adunan yang sepasu ni? Acuan ini ada penutup. Di atas penutup, Mak letak bara....huh... punyalah panas. Kalau nak angkat penutup atau acuan ni, kena pakai dua batang kayu, yang dimasukkan di celah-celah telinga acuan dan penutup tadi... Nak buat ini semua kena cukup berhati-hati...kerana silap sikit akan membawa akibat...zasss....tercalit kat tangan...menggelembong la kulit!

Agak-agak dah kering, kena cepat-cepat angkat... Kena keluarkan lapisan tadi dan letak atas kertas minyak yang disediakan. Lepas tu sapu jem nenas yang Mak buat sendiri... (Nenas diparut dan dimasak dengan gula...juga berjam-jam di atas dapur...Selalunya Mak buat semalam sebelum buat bahulu...)

Lepas sapu jem, kena gulung cepat-cepat sementara dia masih lembut. Dah jadi sebatang BAHULU GULUNG.... yey... Bayangkan...setiap kali buat bahulu, Mak akan pastikan saya siapkan sehingga 500 batang bahulu.... Selalunya saya akan berhenti rehat pada waktu solat...dan akan menyiapkan tugasan saya seawal pukul 6 petang!

Kadang-kadang, kalau angin Mak 'baik', Mak akan tambahkan lagi bahulu lapis dan bahulu bentuk ikan....yang comel-comel tu....

Sepanjang proses memasak bahulu ini...tukang buatnya kena berdiri....Dan tukang buat kuih bahulu Mak adalah saya, dan saya, dan saya.... Mak adalah pengarah yang paling best! Orang lain tak bantu kerana mereka ada tugasan lain...

Itu juga antara sebab sekarang ni bukan setakat lengan saya jadi lengan Popeye... betis pun penuh dengan otot! Ahaks!

Selain bahulu, Mak juga cukup famous dengan rempeyek, kuih bangkit dan banyak lagi... Insyaallah saya akan tulis lagi kenangan Raya bersama Mak....Maksudnya, lepas siap bahulu, kena buat rempeyek pulak....lepas tu, kena buat kuih bangkit pulak..sampailah dua tiga hari nak Raya baru Mak berhenti rehat....untuk beri laluan kepada ketupat, lontong, rendang....

Mak...anak Mak ni rindu sangat kat Mak...

Monday, August 30, 2010

Hari Raya datang lagi....

Alhamdulillah hari ini telah 20 hari umat Islam di Malaysia berpuasa. Ada 10 hari lagi yang tinggal.

Di 'masa-masa kecederaan' ini, semua yang memahami akan berkejar-kejar mendekatkan diri kepada Sang Pencipta. Semua mahu mendapat 'Lailatul Qadar'. Ganjarannya? Subhanallah... 1000 bulan yang bersamaan dengan 80 tahun kehidupan....Kalau setiap tahun kita dapat Lailatul Qadar, sudah tentu tidak terkira timbangan ganjaran yang Allah beri... Mudah-mudahan kita semua dapat bertemu Lailatul Qadar tahun ini.

Kemeriahan hariraya mula terasa bila Abo sibuk bermain bunga api di luar rumah. Lagu Raya berkumandang di sana sini. Semua orang sibuk membeli belah dan jalan penuh sesak. Namun, di rumah kami, ianya adalah 'business as usual'. Kami tidak pernah peduli untuk mengganti langsir, sofa, karpet ataupun lampu lip lap.

Kami akan sibuk di kedai membantu Boss hingga tengah malam Raya. Selalunya saya akan masak lontong, rendang dan sebagainya pada petang sebelum Raya dan kami akan berbuka di kedai bersama-sama. Di pagi Raya, kami akan bersembahyang Raya di Masjid Negeri bersama ribuan pendatang asing dari Indonesia, India, Myanmar, Bangladesh, China, Vietnam....bagaikan di United Nation. Di sinilah kampung anak-anak saya....

Kemudian, kami akan bergumbira di rumah, ambik gambar pelbagai pose...sebelum kami menziarah sanak saudara yang masih tinggal di kampung yang hanya 20 minit perjalanan dari rumah kami. Sejak ketiadaan Mak, hari raya terasa suram. Makanan sedap dan istimewa tiada lagi...Rumah cantik berhias hanya tinggal kenangan....

Andai Mak masih ada, pastinya waktu ini dia sudah sibuk dengan persiapan kuih muihnya. Habis semua cucu-cucunya dikerah membantu menurunkan langsir, mengganti itu dan ini, membersihkan segala benda....

Itu semua hanya memori indah. Saya akan menulis lagi tentang persiapan hariraya ketika zaman Mak dan Bapak saya masih ada....suatu waktu dahulu....

Suatu hari di hari raya....aku melihat wajah sepi ibuku...aku melihat wajah kasih ayahku...ku gembira.

Friday, August 27, 2010

Dua hambaNya....

"Mana pegi kereta ko?"

"Workshop"

"La...dua-dua rosak? Abis tu, ni kereta siapa?"

"Sewa".

"Kenapa tak cakap? Kereta buruk kat rumah tu dok diam je...Bawak je lah, tak payah sewa."

Saya senyum. Terharu dan hampir menitis airmata. Mulia sungguh hatinya. Dia memang begitu. Saya doakan Allah terus merahmati kehidupannya. Bak kata anaknya, "Kami tidak mewah, tetapi hidup kami senang."

******************************************************

Minggu lalu:

"Boleh pinjam kereta tak? Urgent sangat ni. Nak hantar budak-budak pegi sekolah. Kereta masuk workshop."

"Aaaaa.....kereta kancil tu problem la. Hari tu accident masih tak sempurna lagi mekanik tu baiki. Satu kereta lagi tayar dah gondol. Kereta yang satu lagi nak guna."

"Tak pe lah....bagi pinjam kancil tu je..."

"Tak boleh kut...nanti apa-apa jadi, susah."

Saya senyum. Pahit. Dia ada segala-galanya, material. Namun, Tuhan masih belum bukakan hatinya untuk membantu oranglain yang dalam kesusahan. Saya doakan Tuhan memberi yang terbaik buatnya. Saya pinjam kata-kata anaknya, "Ala....rosak karang beli lain..." RM500 bagaikan RM5 buat mereka.

***************************************************

Ya Allah, jadikanlah aku manusia yang sentiasa merendah diri dan tidak berburuk sangka kepada manusia lain. Jadikan aku dan keluargaku manusia yang sentiasa membantu mereka yang memerlukan. Sentiasa mendahulukan orang lain dari diri kami sendiri....Ya Allah, aku pohon hanya dariMu agar Kau keluarkan keluargaku dari segala kesulitan yang membelenggu kehidupan kami dan Kau permudahkan segala urusan kami Ya Allah.. Perkenankanlah doa hambaMu yang kerdil dan lemah ini, Ya Rabbi...

Wednesday, August 25, 2010

Muhammad vs Abo

Saya sedang asyik menaip sementara menunggu kedatangan Limah dan Akma. Datang seorang ibu muda yang menyorong kereta sorong anaknya, membelek butang baju Melayu. Sewaktu melayan wanita ini tadi, saya terpandang anaknya yang berada dalam kereta sorong.

Oohhhh...anak istimewa rupanya.

Saya dekati anak tadi, yang bernama Muhammad. Dia tersenyum manis memandang saya. Kedua-dua tangannya yang kurus tergenggam rapat. Kakinya kurus dan tulang dadanya tinggi. Subhanallah....

Senyuman Muhammad mengundang airmata saya.

"Berapa umur dia?"

"Enam tahun Kak".

"Oh...sebaya dengan anak saya. Dia memang lahir macam ni atau kerana dia sakit?". Mulut saya sibuk bertanya sambil saya hulurkan mainan ke arah Muhammad yang semakin lebar senyumannya.

"Dia lahir tak cukup bulan. Doktor paksa dia lahir, untuk selamatkan nyawa saya. Saya pengsan disebabkan tekanan darah terlalu tinggi. Waktu itu oksigen tidak cukup untuk bekalan dia..." Ibu muda tadi menjelaskan dengan terperinci.

Muhammad hanya terbaring menelentang. Dia punya keinginan, namun tiada upaya.

Ibu muda tadi bertanya tentang anak saya pula...

"Anak akak dah tadika lah ye?"

"Ye. Dia masuk tadika Islam".

"Dah pandai membaca, solat, mengaji agaknya ye?"

"Alhamdulillah. Dia diajar dan dilatih dengan baik sekali oleh guru-guru di sekolahnya. Bolehlah, untuk dia...."

"Itu pun dah syukur sangat Kak..."

Saya rasa tercekik. Nak telan air liur pun tak lepas...

Betapa bertuahnya saya... Abo bukan setakat boleh membaca, menulis dan mengira, dia juga sudah hafaz beberapa surah pendek dan boleh membaca Quran. Dia sudah tahu solat tanpa dibantu, sudah hafal bacaan-bacaan dalam solat dan boleh berzikir, dan berpuasa hampir penuh!....Dia juga sering menegur sesiapa yang minum sambil berdiri, memegang cawan dengan tangan kiri, makan sambil bercakap dan menolak bakul makanan dengan kaki! Saya yang kadang-kadang termalu dengan 'mulut lasernya'....

Kebetulan di kedai kaset sebelah, kedengaran surah Rahman sedang didendangkan....

"Maka nikmat Tuhan manakah yang Engkau dustakan?"

Aku berjanji tidak akan mendustakan nikmatMu...Aku akan sentiasa mensyukurinya, Ya Allah....

Orang Kampung...datang ke kedai...


Tiap kali tibanya Ramadhan, Boss akan sibuk dengan jualan promosinya. Setiap tahun beliau akan pulun kerja gila-gila menjual apa saja....khas untuk hariraya. Sejak beberapa tahun lalu, Boss tumpukan jualannya di ruang legar Kompleks PKNS Shah Alam. Beliau menjual kerongsang, butang baju melayu dan selendang, dan sambutan memang menggalakkan. Walaupun peniaga lain pulun baju kurung dan baju melayu, Boss tetap berminat dengan barang perhiasannya. Modal tidak terlalu besar, dan tidak banyak saingan.

Kali ini, saya dapat bantu Boss hampir sepenuh masa. Biarpun sibuk dengan kerja saya sendiri, tetapi saya tidak perlu gam punggung saya di kerusi pejabat lagi. Saya bebas tentukan masa saya sendiri dan saya akan keluar bermesyuarat atau bertemu pelanggan di masa yang saya fikirkan sesuai- selepas pukul sepuluh pagi dan sebelum pukul empat petang - selalunya begitu. Selainnya, saya sentiasa 'online'. Bagus sebenarnya konsep 'work from home' ni.

Pagi tadi, saya bantu Boss di gerainya kerana banyak stok baru yang perlu dimasukkan - tagging, pricing dsb -. Dalam ramai-ramai pelanggan yang datang, Boss beria-ia melayan seorang kakak yang datang dengan anak dan maknya.

Dari cara mereka bercakap, saya rasa saya tau mereka orang Muar. Maka saya pun menyampuk...."Makcik raya balik mana?"

"Muor..."

Boss apa lagi lah... "La...saya orang Muor jugak. Saya Sungai Mati. Makcik?"

"Jalan......(lupa)."

"Oh bandar...."

"Ko Sungai Mati anak sape?"

"Saya anak Mad Zen...rumah kami di Bukit Kangkor...(Kangkar)"

"Mad Zen? Ada sesiapa lagi sedara mara ko, cuba sebut? Makcik memang asal Sungai Mati..."

"Sedara mara saya.... Uda Amid, Tok Mat Merah, Cikgu Zaaba... bla bla bla..." (Saya lupa nama-nama mereka ni....sebab saya jarang dibawa balik ke Muor....hehehe.

"Mmmmm...kalau Cikgu Zaaba tu...sedara Makcik. Dah tentu kita ni sedara. Ko bagi Makcik nombol talipon ko. Nanti Makcik datang lagi....."

"Nama saya xxxx bin Mohd Zain. Bapak saya, Mohd Zain bin Yusuf". kata Boss sambil menulis nombor talipon beliau.

Tiba-tiba Makcik tadi menepuk lengan Boss sekuat-kuatnya.

"Lailahaillallah....anak Mad Zain? Mak ko nama Mazenah (Maznah)? Atok ko belah Mad Zain nama Peah...belah Mazenah nama Suteh...?"

"Iye Makcik..."

"Makcik dengan Bapak ko tu dua pupu! Mazenah tu pangkat anak sedara Makcik. Dulu Makcik satu kelas dengan Mazenah!" Saya lihat dipeluknya kepala Boss...Terharu!

"Apa kabo Mad Zain dengan Mazenah sekarang? Mana duduknya? Dulu Makcik pernah pegi makan kat umah ko....kat Kelang kan? Sihat Mak Abah ko?"

"Abah dah lama meninggal Makcik. Dah sepuluh tahun. Mak ninggal dua tahun lepas...."

Makcik tadi terus terduduk atas kerusi yang terletak berhampiran. Dia tunduk sambil ditariknya perlahan hujung tudungnya dan dikesatnya airmata yang mengalir tiba-tiba....

"Lama aku tak dengar berita....dah tak ada kawan-kawan aku tu ye? Sapah tak bagitau aku.....Yelah...aku pun dah lama tak jengah kampung.....".

Boss peluk bahu Makcik tu erat. Saya juga nampak matanya bergenang....

Saya pasti, tigapuluh tahun akan datang, samada saya akan jadi 'yang dah tak ada' atau 'yang masih ada, dan dilupa....'

Terus saya dendangkan lagu Alleycats di kepala...

'....di sini...ku rindu...kampung halaman yang lama ku tinggalkan.....'

Bukan saya lupakan kampung...namun apa yang tinggal kini hanyalah jejak-jejak kenangan....Senyum manis manusia-manusia yang saya kenali semakin tiada....sebak dada....

Saturday, August 21, 2010

'Pline Cake' Nenek Yah...

Arwah Mak suka mencuba masakan. Beliau ikut kelas memasak W.I di serata daerah Klang. Saya selalu menjadi peneman beliau.

Mak buta huruf. Beliau tidak pernah ke sekolah, dan saya masih ingat Mak hadiri 'kelas dewasa', macam dalam cerita Pendekar Bujang Lapok....'alif ya mim...buaya!'. Setiap kali Mak hadir kelas memasak, saya akan ditugaskan menulis resipi untuk beliau di dalam buku kulit tebal kepunyaan Ulong waktu tingkatan 5.

Resipi di buku Mak membantu Mak mencuba pelbagai jenis masakan. Antara yang paling digemarinya ialah Kek Buah, Apam Moden, Kueh Roda Dunia, Karipap Kobis, Kek Pisang dan "Pline Cake'. Saya tidak pasti samada ia sepatutnya berbunyi 'Plain Cake' atau apa...tetapi, saya pasti, di buku itu, ia tulisan saya sewaktu darjah dua. (Siap ada tarikh masa menulis...).

Buku resipi Mak saya temui dalam keadaan tidak berharga di bawah almari yang hampir runtuh di rumah Mak. Adik bongsu saya, (tuanpunya rumah tersebut kini) tidak pernah punya kenangan kepada buku itu. Saya kutip, saya tampal balik helaian kertas yang bercerai berai dan tiap kali membelek buku tersebut, saya akan terkenang kisah saya dan Mak.... Sayu dan pilu terasa, kerana saya amat merinduinya...

Minggu lalu, sewaktu saya mengambil Quran yang berada dalam kabinet yang sama dengan buku resipi Mak, tergerak di hati saya untuk mencuba kek yang menjadi kegemaran Mak, Pline Cake. Kebetulan keluarga besar saya akan datang berbuka puasa di rumah kami.

Abo cukup gembira tiap kali saya bakar kek. Dia sibuk mengayak tepung, memukul telur dan mengacau saya. Lemas dibuatnya...tetapi itulah saya 40 tahun lalu! Kacau Mak masak...

Selepas berbuka, saya pinta Kakak-kakak saya makan 'Pline Cake' saya. Kak Non terdiam sejenak selepas kunyahan pertama....Ini macam kuih Mak....Itu komen beliau. Kak Wie, Epah dan yang lain terus mengambil sepotong dan merasa...Ha'ah lah...Mak punya Pline Cake....

Kami bernostalgia sambil menikmati Pline Cake Mak. Anak-anak dan anak-anak sedara gelar Kek Nenek Yah.... Sebelum pulang, masing2 minta dibekalkan dengan kek tersebut...

Semalam, Pak Uteh, adik ipar saya. minta saya buatkan lagi kek Nenek Yah...saya gembira kerana saya mewarisi tinggalan Mak yang amat tinggi nilainya.... Saya suka memasak, dan mencuba berjenis-jenis masakan...saya juga mewarisi nama Mak. Cucu saudara kami yang pertama, Zafaran, panggil saya "Nenek Yah".... Mak, anak Mak ni rindu sangat kat Mak....

Thursday, August 19, 2010

Rezeki secupak takkan jadi segantang?

Semalam, rumah kami bergelap. Sejak pukul 1 pagi, hingga ke petang semalam. Walaupun TNB telah datang, namun ada yang perlu dilakukan dengan 'wiring'.

Dalam panas, kami menyiapkan juadah berbuka secara ala kadar. Dalam masa sama, saya sibuk keluar masuk rumah meninjau kerja-kerja pemasangan kabel yang sedang dilakukan oleh kontraktor.

Hari semakin gelap, dan makin banyak 'kecederaan' pada kabel yang sedia ada yang ditemui oleh kontraktor tersebut. Ini bermakna mereka tidak boleh pulang untuk berbuka. Saya mula memarahi diri...kenapalah masak sikit sangat? Kesian budak-budak ni, kat mana mereka nak berbuka? Kemudiannya saya kata dalam hati..."Tak pe, pukul 7 nanti siaplah. Boleh bawak diaorang gi Mamak".

Pukul 715 malam, mereka akhirnya membuat keputusan untuk memasang kabel sementara kerana kabel kami masih bermasalah. Saya jadi gundah. Alamak...tak sempat nak ajak adik-adik ni ke kedai mamak untuk berbuka....

Abey dan Abo sibuk memasang lilin. Saya sedih melihat juadah di atas meja - hanya ada daging masak kicap, kacang panjang masak lemak dan udang goreng, disertai oleh puding kastad yang hanya sejemput-sejemput sahaja kuantitinya. Tini pulak hanya masak 2 pot beras, cukup-cukup untuk kami berlima. Selalunya lauk penuh semeja, hari ni, sikitnya....

Namun, sudah rezeki adik berdua tu, mereka pun duduk dan kami berbuka bersama. Hati saya terasa kecut tika melihat Abey menyenduk nasi....aduhai...habis nasi ni nanti....Adik2 tadi makan dengan penuh selera.

Saya toleh ke arah Tini, tanpa ditanya dia menjawab, "Ada sikit lagi dalam periuk."

Saya langsung tak ambil nasi, saya lihat Boss dan Tini pun begitu.

Tini kemudian kembali ke meja dengan mangkuk nasi penuh berisi. Dahi saya berkerut, dan Boss mula menjeling saya.

Selepas solat Maghrib dan selepas adik2 tadi beredar, saya tanya pada Tini sekali lagi:

"Berapa pot Tini masak?"

"Dua saja Bu. Seperti selalu. Tini heran kenapa jadi banyak waktu Tini ngambil kali kedua. Padahal waktu kali pertama memang kayaknya cuma tinggal 3,4 sudu dalam periuk. Tau-tau dapat satu mangkuk penuh! Tini lihat Ibu sama Encik heran...Tini juga heran...Itu adik2 yang kerja juga sampai tambah nasi...pun masih ada dalam mangkuknya lagi...."

Kami heran, tetapi kami yakin. Rezeki itu kurniaan Allah. Menjamu orang berbuka puasa amat besar ganjarannya....dan saya menikmati kurniaan itu....Syukur padaMu Ya Allah...

Tuesday, August 17, 2010

Dugaan dan Rezeki...

Tini, pembantu rumah saya sejak hampir 2 tahun lalu mengandung. Beliau pulang bercuti di kampong Disember lalu dan ditakdirkan mengandung…Saya hanya mengetahui tentang perkara ini bulan lepas. Aduhai….pelbagai perasaan bersarang di dada…

Saya ambil masa untuk membawa Tini bertemu pakar sakit puan. Pagi tadi, saya kuatkan semangat dan ini fakta yang kami perolehi:
Kandungannya sudah 36 minggu. Dia dijangka melahirkan pada 11 September….Hariraya kedua. Melalui imbasan, anaknya lelaki….Dan sihat.

Saya ucapkan kesyukuran ke hadrat Illahi. Namun, di mana harus dia bersalin? Saya bingung. Hospital bersalin swasta? Tentu mahal. Hospital kerajaan? Aduh….mesti kena marah. Sanggup ke?

Saya bawa dia kemudiannya ke hospital bersalin swasta berhampiran rumah kami. Doktor kata, “pakej dalam RM1200-RM1400”. Uhhhh….di mana nak cari duit sebanyak itu?

Selepas berbincang dengan Doktor, saya rasa kami mungkin akan menghantarnya ke hospital tersebut. Hospital kerajaan mengenakan bayaran paling kurang RM500 kerana dia warganegara Indonesia. Dan, kelas tiga…mungkin bersalin atas pangkin!

Untuk meredakan gundah gulana, saya bawa Tini ke Tesco. Kami beli baju2 comel, sarung tangan dan sarung kaki…Subhanallah…comel sungguh….

Dalam perjalanan pulang, Tini beritahu:
Tini nggak pernah ke Doktor sepanjang mengandung duluan. Itu digambar jugak nggak pernah. Lucu melihat anak Tini kelihatan bergerak-gerak dalam perut…. Itu pempers kalau di Indon, hanya kain, dipanggil popok. Baju2 baby juga nggak pernah beli. Dibagi sama orang. Semua anak Tini lahirnya di ladang, sama bidan….

Ya Allah…Di bulan yang mulia ini Kau beri kepada kami dugaan dan rezeki sekaligus. Dugaan kerana aku perlu bersabar menghadapi orang gaji yang akan melahirkan anak, dan aku pula yang perlu menjaganya. Rezeki kerana Kau pilih aku dan keluargaku untuk memberi satu kehidupan yang lebih baik buat Tini dan bayi yang akan dilahirkan… Kuatkan hatiku menempuh dugaan ini, Ya Allah…

Saturday, August 14, 2010

Nikmat selepas kehilangan

Semalam rumah kami menjadi rumah pertama berbuka puasa keluarga besar saya. Alhamdulillah, biarpun tidak kesemuanya hadir, meriah masih tetap terasa. Saya masak nasi ayam, kerabu mangga dan bakar kek. Alih-alih atas meja ada satay, kuih lopes, pengat keladi dan pelbagai jenis kuih lain... Syukur padaMu Ya Allah.

Kali ini, solat kami diimamkan oleh Paman. Pak Uteh kena ghout. Pak Long datang bersama Iwan dan Iju. Makin berkurangan bilangan muslimin di depan... Terasa kehilangan Yam, Jimie dan Akmal. Jemaah muslimah masih penuh.

Selesai solat Isya' dan terawih, kami bermoreh pula. Subhanallah...riangnya hati tidak terkira dengan nikmat yang Tuhan bagi. Abo paling gembira. Mak Enon bagi RM10 kerana puasa penuh... Kayalah Abo nanti Mama...katanya.

Semua tetamu pulang dalam sekitar pukul 1030 malam. Saya, Abey dan Bibik mengemas apa yang patut. Dee sampai dari kedai dan mula menyakat Abo. Tiba-tiba terdengar bunyi "tap". Seketika itu juga, rumah kami gelap. Abey terus ke main switch dan cuba 'on'kan. Alamak...tak hidup la Mama...

Abo yang sudah mengantuk teramat tertidur di atas sofa. Nyamuk mula menggila. Abo berpeluh-peluh lalu menangis sekuat-kuatnya.

"Ala...Papa ni bila nak balik?" Abey sudah mula kerisauan.

Abey mula jadi inspektor. Keluar masuk dia ke dalam rumah dengan lampu suluhnya.

'Ma...kat luar ni ada bau terbakar la...'

Apa yang mampu saya lakukan selain dari berdoa? Akhirnya, Boss pulang menjelang pukul 1130 malam.

Boss mula menelek main switch. Kemudian dia keluar dan memeriksa meter. Kala disentuhnya kotak fius di bawah meter, ada percikan api. Lampu terpasang seketika. Ditekan lagi, percikan api keluar lagi. Kali ini lebih besar percikannya.

Boss kemudian menalipon Iwan, anak saudara saya yang tinggal berhampiran. Dia lulusan kejuruteraan elektrik. Iwan tiba sejurus kemudian dan memeriksa. "Alamak Pak Cik....saya tak de tools la... Ini live wire...Pak We atau Meme boleh buat kot..." kata Iwan.

Kemudiannya Boss menalipon Meme. Bila diterangkan, Meme kata "Itu territory TNB. Cik Naha talipon TNB, aduan kerosakan. Nanti diaorang betulkan."

Dengan bantuan cahaya handphone, saya cari bil letrik. Masa ni lah semua benda nak menyorok.... Lama baru saya temui...

Saya talipon TNB Careline. Ada orang jawab! Waktu itu sudah pukul 1230 malam. "Sebentar nanti akan ada pegawai yang akan menghubungi Puan..."

Kami kepenatan. Seharian menyiapkan juadah, berkemas, melayan tetamu dan mengemas lagi....panasnya malam ini.... Abo menangis berterusan. Berpeluh-peluh. Dee landing atas karpet, saya atas sofa panjang dan Boss atas recliner. Abey tergolek atas simen... Nyamuk punyalah banyak...Habis sebotol Ridsect pun tak mampu nak hilangkan nyamuk.

Talipon saya berdering pukul 145 pagi. Boss menjawab dan saya dengar katanya, "Ya...saya tunggu."

Saya terus berdoa, dalam mengantuk. Tuhanku...tolonglah kami, Ya Allah... Kesian anak kecilku ini. Dia kepenatan setelah seharian berpuasa Ya Allah...berilah dia tidur yang nyenyak...

Ketika mata saya sudah mula mahu pejam, saya terdengar bunyi kereta di hadapan. Boss dan Abey terus keluar. Kemudian masuk...dan petik main switch...taraaa..... kipas berputar laju dan terasa dinginnya malam....

Saya terasa sungguh kenikmatan ini... Selepas berpeluh, berlawan dengan nyamuk dan kepanasan...tiba-tiba terasa angin yang menyejukkan....Tidak mampu untuk saya katakan selain...Alhamdulillah....

Seketika itu juga saya katakan pada diri...Maka nikmat Tuhan manakah yang kamu dustakan, Suria? Subhanallah.

P/S: terimakasih TNB atas khidmat yang terbaik...

Thursday, August 12, 2010

Rindu seorang Mama...


Saya Mama kepada 3 orang putra dan seorang putri. Lala dan Jimie berada jauh di perantauan, tinggal Abey dan Abo yang mengharap perhatian.

Hari pertama berpuasa, Abo begitu teruja. Namun dugaan pertama, bangun sahur. Saya suap Abo di atas katilnya. Menangis dan menendang-nendang. Maklum saja sedang enak diulit mimpi, dipaksa makan dan minum. Saya tidak marah atau merungut, kerana itulah yang saya lakukan kepada Lala, Jimie dan Abey sejak berbelas tahun lalu.

Sambil menyuap Abo, saya tidak sedar airmata menitis. Saya terbayang Jimie yang sedang saya suap. Kini, si kecil yang nakal dulunya sudahpun menjadi anak muda, hidup bersendirian jauh dari kami. Apa yang dimakannya pagi ni? Siapa yang gerakkan dia bangun sahur..dan macam-macam persoalan lainnya.

Waktu berbuka, hati saya bertambah sayu. Teringat pada yang telah pergi buat selamanya. Merindu suasana meriah bersama Mak, Bapak, Abah dan Mak... jerit pekik dan hilai tawa, berserta gurauan adik beradik... Dan, dua anak-anak jua tiada bersama...Namun, itu realiti...

Saya teringat kisah 12 tahun lalu...saya dan Boss berniaga di Bazar Ramadhan Jalan Tunku Abdul Rahman. Itu kali pertama kami berniaga di situ. Sangkaan saya, saya sempat pulang berbuka dengan anak-anak. Sebelum waktu berbuka, saya hubungi Bibik di rumah dan meminta dia menyiapkan juadah buat anak-anak. Itu adalah puasa Jimie yang pertama. Lala tidak pernah bermasalah untuk berpuasa, malah dia cukup independent.

Saya tiba di rumah selepas pukul 10. Jimie telah tidur di sofa. Bibik kata, "Abang nggak makan tadi Bu...Asyik nangis manggil-manggil Ibu. Sudah Seri suruh makan ulang kali, tapi dia nggak mahu. Duduknya di muka pintu nungguin Ibu...sampai tertidur.."

Hancur luluh hati saya mendengar cerita Bibik. Saya dukung si comel yang baru berusia 6 tahun itu ke atas, lalu saya tidur di sebelahnya. Waktu sahur keesokan harinya, Jimie makan sebanyak-banyaknya...kerana dia telah berpuasa lebih dari 24 jam....

Sejak itu saya seboleh mungkin tidak akan membiarkan dia berbuka sendirian. Jika keadaan memaksa, saya akan menaliponnya pada waktu berbuka dan kami akan makan bersama melalui talipon. Dah besar anak Mama kini. Sudah mampu menghadapi hidup sendiri. Mama amat bangga dengan kalian semua...Ini kali keempat Lala berjauhan dengan kami di bulan puasa, dan saya jangkakan ia akan berterusan....habis pengajian, bekerja dan berumahtangga...

Biar bagaimana besarnya anak-anak Mama, kalian tetap my sweet little baby....

Wednesday, August 11, 2010

Masih boleh gelak?

Semalam adalah kali kedua saya dan Boss mendapat komen di atas: "You all mampu nak gelak, ye?"

Ayat terakhir surah Al-Baqarah mengatakan bahawa Allah tidak akan membebani manusia dengan bebanan yang tidak mampu dipikul. Begitu keyakinan kami berdua. Apa pun yang Allah turunkan, Dia tahu kami mampu menangani segala kesulitan hidup kerana Dia yang menjadikan kami. Keupayaan dan ketidakupayaan kami adalah dalam pengetahuanNya.

Boss dan saya dijemput ke rumah Sifu saya, Prof MKI di bandar Segamat. Banyak yang kami bualkan sepanjang hari, diselangselikan dengan kelas dan masa rehat. Pertama kali kami bercerita dengan terbuka apa yang pernah kami berdua lalui sepanjang kehidupan kami...umpama yo-yo.

Bila Prof mengeluarkan komen di atas, kami berdua berpandangangan. Satu ketika beberapa tahun dahulu, sahabat saya yang amat saya hormati, Pak Payne, jua pernah berkata demikian.

Bagi kami berdua, apa yang terjadi adalah suratan. Biar sukar bagaimana sekalipun, kami yakin kami mampu menghadapinya. Bohong jika kami tidak risau, tidak sakit dan tidak kecewa - kami manusia. Namun keyakinan kami mengatasi segala rasa. Kami sentiasa cekal dan tabah menghadapi kesukaran yang datang. Tuhan sentiasa memudahkan urusan kami - kerana itu yang kami sentiasa pinta dariNya.

Hasil dari pertemuan singkat kami berempat - saya, Boss, Prof dan Roza - saya umpama mendapat suntikan vitamin. Saya semakin bersedia untuk kembali menulis. Satu perkara yang amat saya minati, namun kekangan waktu dan kekeringan idea sering menjadi faktor pendorong saya untuk 'tidak menulis'. Keyakinan Prof MKI terhadap anak muridnya adalah sumber inspirasi saya. Semangat Prof untuk berdakwah menggunakan tulisan beliau menjadi pemangkin kepada azam saya ini. 1 Ramadhan ini, saya berazam untuk menjadi Suria yang sentiasa menerangi kehidupan orang lain....Amin.

Saturday, August 7, 2010

Kembali Berlabuh...

Saya berpeluang ke Colombo dua hari lepas. Mengintai peluang perniagaan yang ada di sini. Sebuah bandar yg cantik, mungkin 20 tahun terkebelakang dari Malaysia, dan baru keluar dari peperangan.

Saya dipertemukan dengan ramai kenalan baru. Saya juga bertemu kembali dengan rakan lama di sini. Indah suasana yang menyelubungi.

Saya di Chennai kini. Mengintai peluang juga.

Mudah2an perjalanan ini dipermudahkan.

Hati yang gundah gulana...janganlah terus merana hendaknya...

Sunday, August 1, 2010

Padahnya bernama pelik...

Saya suka nama saya yang unik, walaupun adakalanya ia menyukarkan. Saya hargai pemberian arwah Bapak yang menjadikan saya manusia yang dikenali. Hanya dia yang tahu kenapa saya diberi nama yang besar ini....

Dua hari lepas, kami dikumpulkan di sekolah lama...menjalin kembali tali persahabatan yang telah lama terputus. 28 tahun kami terpisah, kini silaturrahim bermula kembali.

Saya bertugas di bahagian reception di majlis itu. Makanya saya antara orang pertama yang ditemui oleh sekelian yang hadir. Seorang demi seorang yang saya sudah lupa wajah dan namanya datang menghulur salam. Rasanya kesemua mereka masih ingat nama saya dan wajah saya...alahai...gembira pun ada, berdebar lebih rasanya...

Saya rasa gembira, rasa teruja, rasa malu, rasa dihargai, rasa diperhatikan...macam2 rasa ada....Kadangkala saya tidak pernah suka dikenali, tapi disebabkan nama saya yang pelik, saya cukup mudah menjadi terkenal...Ish ish ish....

Thursday, July 29, 2010

Menjual yang sudah dijual

Selalunya bila kita beli ayam proses, kita akan meminta supaya kaki dan kepala ayam dibuang, walhal kita bayar keseluruhan berat ayam tersebut.

Saya selalu tertanya-tanya bagaimana hukumnya peniaga yang menjual kaki ayam tadi kepada pelanggan lain dengan sekian harga.

Saya selalu minta kaki ayam supaya dimasukkan dalam plastik saya. Kaki ayam tadi akan saya potong kecil-kecil dan rebus untuk saya jadikan makanan kucing-kucing saya.

Ada satu ketika, saya naik marah dengan peniaga yang memasukkan 6 kaki ayam ke dalam plastik ayam saya dan mengenakan caj untuk harga sekilo kaki ayam. Biarpun hanya RM2.50, bagi saya, ia perlu ditimbang. Dan saya bertambah marah bila saya fikirkan bahawa kaki itu sudah dibayar oleh pelanggan yang membeli daging ayam tadi...

Pagi tadi, saya beli ayam dari Shah. Saya minta dia bungkuskan kaki ayam....tanpa menimbang, Shah memasukkan lebih 20 kaki ayam ke dalam plastik saya. Saya tanya berapa harga kaki ayam tersebeut? Jawab Shah..."Hak ni orang dah bayar Kak. Mana Shah boleh jual kat Akak pulak?"

Terimakasih Shah. Semoga Allah memberkati kehidupan Shah kerana Shah tidak menjual yang sudah dijual....

Tuesday, July 27, 2010

Negeri di atas awan...

Saya suka gunakan frasa ini...membina negeri di atas awan.

Jika ditanya apa maksudnya: saya tiada jawapan.

Setiap orang punya mimpi berlainan. Tanyalah kepada pasangan yang tidur sebantal dengan kita...mimpi dia memang tak sama dengan mimpi kita....

Saya sedang membina impian indah...harapnya kesampaian. Sebuah institusi pengajian tinggi yang menawarkan kelayakan profesional, yang diusahakan bersama teman-teman seperjuangan yang sehati sejiwa, dikelilingi keluarga bahagia yang punya profesion tersendiri....termasuk dalam impian saya, tinggal di'istana' saya sendiri di tanah Haram...mengagihkan kekayaan kepada insan-insan yang memerlukan...sambil saya sendiri berjuang tanpa mengenal lelah....

Bak kata kawan rapat saya: "Sebrutal-brutal manusia bernama @$#&(%^#!, dalam hatinya penuh dengan taman-taman firdausi....

Amin....Amin...Amin.... Ya Allah

Monday, July 26, 2010

Pecah tembelang...

Cikgu Aris sedang menderita sakit kanser di HKL. Cikgu Aris mengajar di sebuah sekolah di Kelantan. Isteri dan anak2 beliau masih di sana. Di Kuala Lumpur, Cikgu Aris ada 4 anak yang sudah berumahtangga. Sewaktu dirawat, anak2 Cikgu Aris bergilir2 menjaga ayah mereka yang makin teruk sakitnya.

Satu hari, Cikgu Aris koma. Anak sulung beliau, Asmah, kalut dibuatnya. Mana nak jaga keluarga sendiri, kerja beliau dan segala macam yang perlu dilaksanakan.

Sedang Asmah berperang dengan rutin dan kesulitan, dia dikejutkan dengan kedatangan Guru Besar sekolah tempat Cikgu Aris bekerja, bersama seorang perempuan muda sebaya dengannya. Mata Asmah bulat ketika diberitahu bahawa perempuan tersebut, Cikgu Ella, adalah isteri ayahnya!

Asmah redha dengan kenyataan itu. Dia pun berbual dengan mak tirinya. Sekali lagi Asmah hampir pengsan bila diberitahu, rupa2nya Cikgu Aris punya seorang lagi isteri... Oh... berpinar2 kepala Asmah. Apa yg sebenarnya terjadi?

Namun begitu, Asmah matang menangani situasi. Malah lebih gembira kerana dia sudah boleh pulang ke rumah menjaga anak2nya yang masih kecil.... Ada mak2 tiri yang boleh menjaga....sementara emak Asmah berada di Kelantan menjaga adik2nya yang masih sekolah.... Nak tergelak pun ada....

Tuesday, July 20, 2010

Kawan-kawan

Dalam hidup, kita sentiasa dikelilingi kawan-kawan. Ada yang baik, ada yang kurang baik, ada yang sangat baik dan ada yang tidak baik.

Kenapa seseorang jadi tidak baik? Walhal dia sepatutnya baik. Terutama bila dah tua-tua ni?

Ada seorang kawan saya ni, dulu baik. Dan saya ingat dia memang baik. Sebab saya kenal dia.

Selepas beberapa lama, saya tidak lagi berhubungan dengan dia. Entah bagaimana, dia menjelma kembali, dengan kisah seribu satu malamnya. Saya jadi seronok mendengar kisah-kisahnya, kerana saya tidak pernah mengalami apa yang dia alami.

Bila kami dah jadi baik, saya ingat dia boleh terima bila saya berterus terang dengannya. Rupanya dia jadi pendendam. Habis dicerita kisah saya, yang entah betul entah tidak, kepada sesiapa saja yang mengenali saya.

Saya tidak pula berniat untuk bercerita tentang dia. Malah, saya telahpun padamkan namanya dari memori saya. Namun, ketika saya diberitahu oleh seseorang tentang dia yang bercerita hal saya...yang tidak benar, dia buat hati saya terluka. Tidak adil sungguh dunia ini...saya dihukum tanpa dipanggil membela diri....Tapi, apa yang saya alami hanya sedikit...Rupanya kawan ini juga bercerita tentang satu nama, tentang keburukan yang dilakukan oleh empunya nama itu....terlalu mengaibkan sebenarnya.... tanpa tuanpunya badan dipanggil untuk membela diri.

Saya tertanya-tanya sendiri: Apa niat dia?

Jika dia berhasrat untuk menjatuhkan saya atau sesiapa jua, atas alasan apa agaknya? Sebenarnya, dia hanya memburukkan dirinya sendiri...

Oh Tuhan...jauhkanlah aku dari kejahatan syaitan dan manusia....Amin.

Monday, July 5, 2010

High School Sweet Heart

Saya masukkan posting ini di laman fb, punyalah banyak komen yang saya dapat.... masing2 ada kenangan....
********************************************************************

Saya teruja untuk menulis tentang topik ini. Bukan kerana saya masih berada di High School, tapi kerana kesilapan yang saya lakukan dalam menilai kesungguhan kisah yang pernah dialami oleh hampir kesemua dari kita.

Selama ini saya agak menentang kisah cinta di bangku sekolah. Bagi saya, tugas anak2 ialah bersekolah, menimba ilmu sebanyak2nya, dan berkawan seramai2nya. Ketepikan dulu soal cinta, boyfriend, girlfriend atau yang sewaktu dengannya kerana perjalanan masih terlalu jauh.

Kesempatan bertemu kembali dengan teman2 sekolah sesekali menyelongkar kisah cinta zaman remaja atau bagi saya cinta monyet. Rasanya kurang dari 10% dari kalangan kawan2 saya yang mengakhiri kisah cinta mereka ke jinjang pelamin. Pendapat saya bahwa cinta monyet membuang masa saya anggapkan benar berdasarkan analisa saya sendiri.

Namun, tiga insiden yang berlaku dalam beberapa ketika kebelakangan membuat saya terfikir...dan mula menyelongkar satu persatu kisah cinta lama mereka yang pernah mengalaminya. Rupanya, ramai yang serius dengan cinta di bangku sekolah. Itulah cinta pertama mereka, yang begitu tulus dan mulus, kerana tidak disertai oleh kekangan keluarga, persepsi kebendaan dan perbezaan darjat.

Antara mereka, yang saya namakan Uda dan Dara, menjalin persahabatan seawal darjah 6, kemudian terus bersama hingga kini. Mereka membina cinta dan cita-cita bersama2. Susah senang direnangi bersama, sama seperti sewaktu mereka masih lagi high school sweet heart, terserlah betapa mereka amat saling menyintai...kini mereka amat berbangga dengan keujudan anak2 yang cantik dan bijak.

Saya juga sempat bersembang dengan Romeo, yang begitu merindui Juliet, kekasih pertamanya sewaktu di tingkatan 4 dan 5 di sebuah sekolah berasrama. Kemudiannya mereka terpisah beribu batu. Tahun 1980an, perhubungan jarak jauh amat menyiksakan. Namun cinta mereka mekar dan terus dipupuk dan dibaja hingga kedua2 mereka tamat pengajian. Ternyata mereka kalah dengan ketentuan jodoh. Romeo dikahwinkan dengan sepupunya, lalu Juliet membawa hati yang lara.... Hingga kini, Romeo masih diburu rasa bersalah kerana mungkir janji. Baginya, cinta mereka luhur dan suci...

Sesekali nak tergelak bila dibayangkan...apa yang seorang yang masih terlalu muda tahu tentang cinta? Apatah lagi tanggungjawab.

Saya akan rungkai lagi kisah ini secara mendalam melalui pemerhatian dan sembang2....saya sendiri tidak punya pengalaman...kerana sesungguhnya, saya tidak pernah mengalaminya....uhuk!

Thursday, July 1, 2010

I want a baby sister...

Dia merengek2 minta adik....aduh!!!! mana nak cari adik untuk dia?

Adik kucing bolehlah....

Lepas tu saya dapat berita....eh! bukan dari diri saya. Dari 'dia'.

Mengandung? Alamak? Camana ni?

Boss terkedu...bila lak masa dia ......?

Kami mula menganalisa. Macam2 theori kami guna. Min, median, standard deviation, bolinger band, candlestick....eh! merapu pulak....

Lalu....kami panggil 'dia'. Kami suarakan keresahan di hati kami. Kami khabarkan kegembiraan kami. Ada makhluk Allah yang minta kami peliharai....tanpa kami pinta. Ada rezeki yang akan tiba tak lama lagi....lagipun, zuriat itu kepunyaannya dan suaminya...sewaktu 'dia' pulang bercuti akhir tahun lalu...Alahai....

Kami tidak mengharap apa2 balasan....kami hanya ingin membantu mamberi kehidupan, kepada si kecil yang bakal mewarnai hari2 indah kami....bakal menyerikan suasana kediaman kami....

Tertunai hasratnya.... "I want a baby sister" walaupun mungkin hanya untuk beberapa ketika...sebelum mereka kembali ke negara mereka.

Tuhan...aku redha dengan apa jua pemberianMu Ya Allah....

Wednesday, June 30, 2010

Kembali Menulis...

Saya merajuk.

Sejak hampir 7 bulan lalu, saya merajuk.

Teraniaya. Tertindas.

Makanya, saya tutup blog ini.

Kini hati saya kembali tenang.

Saya akan menulis kembali.

Bukan tentang saya.

Tentang kehidupan.

Selamat bertemu kembali....