Monday, November 30, 2009

Satu hari di 1 Disember 1994



Hari ini, 15 tahun lalu, saya lahirkan si handsome ini, di SJMC, diawasi oleh Datuk Dr Siti Zaleha.

Apa yang saya alami adalah sesuatu yang agak ganjil bagi kebanyakan ibu2 mengandung. Pada bulan Mac tahun tersebut, saya mulakan kerjaya di Celcom sebagai Akauntan. Kehidupan yang penuh dengan dateline dan submissions membuatkan saya teramat sibuk dan sentiasa pulang lewat dari pejabat. Waktu itu, Lala dan Jimie selamat di bawah jagaan Imah, Mok Su kesayangan mereka.

Dalam masa yang sama, saya juga sibuk berulang alik ke hospital kerana arwah abang saya sakit tenat. Boss pula baru mula bertugas di cawangan Seremban. Setiap pagi dia menunggang Superbikenya ke sana dan pulang menjelang malam. Kadang2 dia tidur di bilik sewaannya di sana.

Abang saya meninggal dunia pada 19 April 1994. Saya dilanda kesedihan yang teramat kerana kami amat rapat. Beliau baru 31 tahun waktu itu. Selepas kematiannya, saya jadi pendiam dan suka bersendiri. Makan pun tak berapa lalu. Ditambah dengan kesibukan di pejabat, Lala dan Jimie yang cukup nakal dan dibebankan lagi dengan Boss yang jauh di mata...

Satu hujung minggu, saya perasan Boss muntah2 di bilik air sewaktu mengambil wudhu'. Kemudiannya dia terbaring lesu. Diikuti dengan hilang selera makan, pening kepala dan macam2 lagi. Susahnya hati saya bertambah2...

Penyakit Boss tidak berkurang. Tiap2 pagi dia muntah. Sekejap2 dia rasa mual. Saya agak malas nak memikirkan apa lagi kemungkinan. Banyak sangat dalam kepala ni.

Di pejabat, saya ditegur oleh rakan2 kerana badan saya gemuk. Eh...tak perasan la pulak. Saya rajin makan dan hari2 makan ikan bakar, sampaikan kakak tokey warung pun tegur.

Bulan Jun, saya mula tak sedap hati. Boss masih muntah2 walaupun tidak berapa kerap. Saya pulak makin gemuk. Perut buncit dan selera makan bertambah2. Apa dah jadi ni?

Hinggalah satu hari arwah emak tanya, "Ko dah berapa bulan?".

"Bulan apa?"

"Ko kan ngandung?"

"Mana ada?"

"Tengok pun mak dah tau...."

Baru saya perasan. Dah lama saya tak p****d. Ia biasa bagi saya kerana saya masih menyusukan Jimie.

Makanya, saya bergegas ke klinik. Sah, dah 4 bulan rupanya ada nyawa dalam badan saya. Kenapa tak rasa apa2?

Bila saya cerita kat emak apa yang Boss alami akhir2 ini, mak ketawa terbahak2.

"La...Naha yang alah! Kesian..."

Habis semua orang yang tahu gelakkan Boss. Kesian pun ada tengok mukanya yang pucat lesi, tak selera makan, lemah, asyik mengantuk dan pening selalu....

Ia tidak terhenti di situ. Pagi 1 Disember 1994, Boss berulang alik ke tandas, padahal dia dah bersiap2 nak ke pejabat. Saya yang bercuti untuk hantar Lala masuk Tadika membebel kat dia...

"Abang sakit perut sangat ni. Memulas2...kejap2 tegang, kejap2 hilang...."

Saya pun apa lagi...

"Entah2 Su dah nak bersalin tak Bang? Meh kita gi hospital!"

Kami terus ke SJMC. Di bilik kecemasan, Doktor kata, "Dah buka 8cm! Terus ke labour!"

Terkejut beruk kami berdua. Sampai di Labour Room, Boss masih lagi keluar masuk tandas, berpeluh2 dan termengah2. Saya rilek je....Bila Dr Siti sampai, dia kata "Push, dear!" Saya pun push...sekali saja, dengan jeritan Allah hu Akbar...dan lahirlah Nabil Imran ke dunia ini.

Hidung mancung, muka bujur sireh, mata kuyu dan bibir mungil...Cantiknya dia, kata Nurse.

Saya toleh ke sisi dan nampak Boss keletihan tersandar ke dinding....

"Ngapa?"

"Lega..." jawabnya.

Ye...dia yang rasa lega selapas saya melahirkan! Dan dia lalu pulang ke rumah dan tidur sepuas2nya!!!!

Thursday, November 19, 2009

Kenalan Baru...Maulana

Isnin lalu, di India.

Saya menerima jemputan makan malam di rumah Mr Hassan. Sesampai di rumahnya, ada beberapa lelaki sedang menunggu beliau. Saya dengan selambanya, seperti biasa, mengambil tempat di sebelah Mr Hassan dan ikut serta dalam perbincangan beliau. (Ini satu keistimewaan yang saya perolehi...)

Duduk di hadapan saya, seorang India yang berwajah Arab. Namanya: Mr M.A.K Jeelani. Saya senyum dan beliau pun senyum. Kemudian beliau perkenalkan diri kepada saya. Beliau merupakan salah seorang Pengarah Giordano. (ETA STAR ada JV dengan Giordano Ltd dan mereka menguasai pasaran Middle East, Africa dan India).

Maka, Mr Jeelani pun bercerita tentang pernigaannya: dengan lebih 300 outlets dan office beliau di Jeddah. Telah 15 tahun di sana, Mr Jeelani kongsikan pengalamannya dalam bidang retail dengan saya. Sudah tentu saya berminat kerana Boss saya juga punya 'a very small' retail outlet. Bayangkan - 300 stores??? Fuuhhhhh!Otak saya ligat kira berapa banyak duit dia...Kalau dapat RM1000 dari satu store sebulan = RM300,000. Mak oii...

Malam itu juga Mr Jeelani beritahu saya bahawa nama sebenar beliau ialah Mohd Abd Kadir Jeelani - ohhh...serupa macam nama ulamak terkenal tu, kata hati saya. Seolah mendengar suara saya, Mr Jeelani kata "I am the 19th descendent of Syeikh Abdul Kadir Jeelani. I am a sufism."

Okay... Saya katakan padanya, "I am honored to have this moment with you, Sir."

Lepas itu, beliau beredar dan Mr Jeelani berjanji untuk hubungi saya kemudian.

Pagi esoknya, beliau muncul di rumah saya bersama seorang Syeikh yang berjanggut lebat dan putih bersih wajahnya. Kata Kaka, tukang masak di rumah itu, "They are Maulana, Madam."

Saya berkesempatan duduk berbual dengan Mr Jeelani dan Pak Syeikh tadi. Tinggi betul pengertian mereka tentang sufi, ilmu dan Islam keseluruhannya. Mr Jeelani rupanya bukan hanya seorang ahli perniagaan berjaya, beliau juga seorang pendakwah yang gerenti tak de sijil JAIS, yang bercakap di seminar2 antarabangsa dan banyak menulis artikel tentang sufism. (Saya tak berapa involved dengan perbincangan mereka berdua kerana saya ni cetek ilmu dalam sufism. Takut gak kot tersasar. So, senyum je la....)

Saya rasa honored kerana dua orang manusia hebat ini kemudiannya mendoakan saya - dengan lafaz Bismillah dan Ya Allah, Ya Rahman Ya Rahim, berkali2: diikuti dengan salawat dan puji2an kepada Allah: agar saya dan keluarga sentiasa diberkati Allah dan mendapat kekayaan di dunia dan akhirat...Pak Syeikh juga sempat menitipkan sebentuk cincin buat Boss - saya tak faham apa kata2 beliau, tapi agak2nya cincin tu boleh jadi pemanis kut...bertambah hensemla gamaknya....hehehe.

Saya amat bersyukur dengan kurniaan ini dan saya tahu, ada hikmah di sebalik pertemuan ini.

Monday, November 16, 2009

Inter-family marriage

Semalam saya berkesempatan berbual dengan Sheikh, tunang kepada Fathima, di pejabat saya. Sheikh seorang pemuda tampan, mempunyai British accent yang pekat kerana belajar di sana untuk beberapa tahun, putih kulitnya dan seorang akauntan. Bergaya sebagai seorang anak aristokrat.

Malam tadi pula, saya bersembang santai dengan Fathima, di dalam bilik di rumahnya. Fathima seorang pelajar perubatan yang sedang melakukan housemanship. Lagi 6 bulan beliau akan mula bekerja sebagai doktor.

Saya beritahu Fathima yang Sheikh datang ke pejabat saya dan saya amat ingin melihat reaksi beliau. Fathima tersenyum malu, sambil berkata beliau TIDAK PERNAH bercakap dengan Sheikh walaupun sekali sedangkan mereka telah ditunangkan sejak Fathima berusia 7 bulan dan Sheikh berusia 3 tahun!!!!

Saya terpegun. Saya tanya Fathima, "Don't u meet other boys in school or in uni?" Jawabnya, "Of course I do. But I've also known that Sheikh will be my husband."

Ingin benar saya korek dari beliau .... 'Takkan tak pernah walau sekali hatinya terpikat kepada seseorang?" Namun saya tidak mampu mengutarakannya.

Fathima kemudian menjelaskan bagaimana inter-family marriage terjadi:

Ayah dan ibu Fathima adalah 1st cousin. Ayah Mr. H dan ayah Mrs H adik beradik.

Sekiranya ayah Mr H ada anak perempuan dan ayah Mrs H ada anak lelaki, mereka juga akan dijodohkan.

Fathima punya dua orang kakak, N dan M. N berkahwin dengan Y, sepupunya. Mr H, bapa N dan bapa Y adik beradik.

Adik lelaki Y berkahwin dengan kakak E dan E berkahwin dengan M, kakak Fathima.

Ayah E dan Mrs H dua pupu.

Kusut otak saya memikirkan tali persaudaraan mereka. Umpama idiapom atau putu mayam dalam bahasa Melayu...tiada mula dan akhir.

Fathima dan Sheikh pula ditunangkan ketika ayah saudara Fathima, B, berkahwin dengan BB, emak saudara Sheikh. Jadi, sebagai tukaran, mereka ambil seorang perempuan dari keluarga B untuk seorang lelaki dari keluarga BB.... (B dan BB adalah 3rd cousin..)

Saya tersenyum. Saya dan sepupu2 saya amat rapat. Kami seperti adik beradik. Anak2 saya juga amat rapat dengan sepupu2 mereka. Bagaimana boleh Jimie atau Abey dijodohkan dengan Eja atau Dek Nor atau Lala dijodohkan dengan O'ad atau Abo dijodohkan dengan Iman? Hahahaha....tak masuk akal....!

Rasanya kita amat bertuah kerana diberi kebebasan untuk memilih pasangan hidup kita sendiri. Dalam extended family saya, ada India, ada Cina, ada Kadazan, ada Iban, ada Siam, ada Mat Saleh, ada Turki, ada Mamak, ada Benggali, ada Portugese...dan macam2 rupa ada: dan kami... Jawa. Hahaha... Semangat 1Malaysia la katakan....! Harmoni betul kita kan?

Friday, November 13, 2009

P.S. I Love You...

Saya sedang dilanda kebosanan yang melampau bilamana saya terjumpa sebuah buku tulisan Cecelia Ahern berjudul "P.S. I Love You" dalam almari saya, di rumah saya di India.

Saya pun mula membaca helaian demi helaian buku yang saya beli sejak berbulan dulu. (Nota: harga buku di India amat murah. Tiap kali saya datang ke sini, saya akan ke kedai buku dan akan habiskan beratus malah beribu Rupee (hehehe) untuk membeli buku.)

Buku P.S. I Love You telah diadaptasi ke filem, yang dilakunkan oleh Hillary Swank. Ceritanya mudah: tentang seorang wanita muda yang kematian suami akibat barah otak, tentang bagaimana dia menghadapi hari2 selepas ketiadaan suaminya dan sokongan yang diterima dari keluarga dan sahabat2nya.

Saya tenggelam dalam cerita ini. Di saat ini saya sedang mengalami apa yang Holly Kennedy alami. Merindu. Saya amat merindui suami saya. Saya rindukan seorang teman yang sentiasa bersama saya ketika bersarapan, ketika menonton TV, ketika membaca akhbar pagi, ketika mendengar kisah2 Abo di sekolah, ketika mendengar keluh kesah Jimie menjelang SPM, ketika ketawa melihat Abey yang sentiasa membetulkan rambutnya, ketika melihat gambar2 Lala yang sarat dengan cerita, ketika melihat anak2 kucing kami berlari ke sana ke mari dan berebutkan Puteh, si ibu untuk menyusu, ketika melihat Ali, Abu, Ravi dan Gemok tidur kekenyangan (mereka adalah kucing kami)... Saya amat rindukan dia.

Perpisahan yang terjadi antara kami bukan kerana terpaksa atau tiada pilihan. Tetapi, ini adalah satu peluang seumur hidup yang datang selepas usaha keras diiringi doa yang tidak pernah putus. Di hadapan saya kini terbentang banyak peluang lain yang sedang menanti kami sekeluarga di hadapan.

Saya ingin nyatakan kepadanya betapa dia amat penting dalam hidup saya. Betapa dia amat istimewa dalam diri saya. Betapa dia sentiasa bersama saya dalam setiap denyut nadi dan nafas yang saya hela.

Indahnya hari ini, lebih indah jika dia ada bersama. Seperti yang tertulis dalam buku Cecilia Ahern:

He's my soul mate. He's so thoughtful, always surprising me with little gifts and spoiling me. He makes me laugh all the time and I just love being with him. I haven't got sick of him. Plus he's good-looking....

Wednesday, November 11, 2009

Kunjungan

Saya dikunjungi seorang teman yang sedang dalam perjalanan pulang dari Mumbai ke Kuala Lumpur. Beliau singgah sebentar ke rumah saya di Chennai sebelum bertemu dengan rakan perniagaannya untuk makan malam.

Saya amat gembira menerima kunjungan ini. Kami bersembang kisah2 lama, hal2 peribadi dan rancangan masa depan.

Teman ini saya kenali sejak lebih 15 tahun lalu. Dia seorang yang kuat bekerja. Dan kini dia berjaya memiliki perniagaan yang bernilai berjuta2 ringgit, selain aktif dalam perniagaan hartanah. Namun, beliau tidak pernah berubah dari sikapnya yang baik hati dan pemurah seprtimana beliau yang saya kenali sewaktu beliau seorang salesman dulu.

Saya akui saya agak tidak secemerlang beliau dalam membina kekayaan, biarpun saya amat cemerlang dalam bidang pelajaran jika dibandingkan dengan beliau yang hanya ada sekeping diploma. Ditambah dengan isteri beliau yang tidak bekerja, saya merasa saya amat tertinggal. Di mana silapnya?

Di akhir pertemuan, teman ini bersungguh2 bertanya berapa yang saya perlukan supaya saya bebas dari beban kewangan dan bersama2 dengan beliau menceburi bidang hartanah untuk mendapat pulangan yang banyak.

Akhirnya, beliau berkata: "It is typical you la Suria... You never want to ask your friend for help. Entah bila ko akan berubah..."

Jawapan saya kepadanya: "Pasal tu la kita masih berkawan. Kalau aku asyik mintak kat kawan, ko pun dah tak nak jadi kawan aku lagi....!"

Good luck, my dear friend. I envy you and I will be successful, Insyaallah, in my own way.

Tuesday, November 3, 2009

Suara Hati

Saya agak malas menulis kebelakangan ini. Pelbagai alasan ada di kepala, namun yang nyata, saya kekeringan idea.

Pagi ini, saya mulakan hari dengan melihat ke dalam diri. Hampir berlalu tahun 2009, dan terlalu pantas sebenarnya ia. Pelbagai kisah suka duka yang dialami oleh semua orang, dan saya sendiri melalui satu fasa kehidupan yang berwarna-warni...

11 bulan lalu, saya mulakan perjalanan ke India, membawa bersama harapan dan impian organisasi tempat saya menabur bakti. Satu demi satu rintangan, halangan dan cabaran yang saya lalui, menjadikan saya manusia yang berbeza. Saya adalah transformer, yang berubah mengikut keadaan. Jika sebelum ini, saya seorang yang bermain dengan nombor dan standard, saya kini seorang yang melihat nombor sebagai pendokong perjuangan.

Namun, sebenarnya, ia perjalanan yang sukar untuk saya. Saya sentiasa berperang dengan hati dan perasaan. Namun saya gagahkan diri dan semangat kerana saya berjuang bukan untuk diri saya sahaja. Saya berjuang untuk kehidupan...

Saya kesal bila ada yang beranggapan "Asyik ke India je. Banyaklah elaun dapat kumpul. Seronoklah ye?" atau "Tak takut ke cik Abang sorang2 kat sini?" atau "Apa yang best sangat kat India sampai dah tak nak kerja kat Malaysia ni? Merajuk ke?"

Menitik airmata saya mendengar komen2 seperti ini. Tak perlu saya beritahu apa yang tersirat di hati saya...ianya amat peribadi.

Seperti yang saya nyatakan, saya berjuang demi sebuah kehidupan. Transformasi saya menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Dan ia amat melukakan.

Elaun yang saya kumpul bukan untuk saya, tetapi untuk saya 'bayar' anak2 saya menggantikan masa yang saya hilang untuk bersama mereka...di hari anugerah, di hari perlawanan, di sambutan hariraya PIBG...

Tidak tersukat berapa banyak airmata yang saya tumpahkan setiap kali saya merindui mereka. Tiap kali saya mendengar suara mereka di talian, hati saya meruntun pilu. Mereka perlukan saya lebih dari segala-galanya, namun saya perlu berkorban demi kehidupan; bukan satu, bahkan tidak terkira...

Saya tidak pernah bertanya bagaimana perasaan suami saya sepanjang saya terbang ke sana ke mari. Yang saya pasti, beliau sentiasa merestui langkah saya, beliau sentiasa mendoakan keselamatan saya dan beliau sentiasa bersama saya, di dalam hati dan di setiap denyut nadi saya. Hatinya? Hanya Allah yang tahu.

Cerita gembira saya rupanya mengundang spekulasi di kalangan mereka yang tidak senang dengan kesenangan yang saya alami. Mereka mahu mendengar saya susah. Mereka suka mendengar cerita kecewa dan gagal dari cerita gembira.

Hari ini, hati saya bersuara... Kehidupan saya adalah hak saya. Saya berjuang demi anak2 dan keluarga yang saya sayangi, sementara saya masih punya kekuatan rohani dan jasmani. Bila saya tiada nanti, saya akan tinggalkan satu legacy, yang akan mendoakan saya di sana. Biar bagaimana susah sekalipun, saya tidak akan berundur dari medan perjuangan.

Saya hanya mengharapkan ganjaran dari Allah, keampunan dariNya dan keredhaanNya dalam melaksanakan tanggungjawab saya....Subhanallah...

Thursday, October 29, 2009

Good Luck, my Dear...

Untuk Akak dan Mimie,

Mama doakan Akak dan Mimie beroleh ketenangan di saat2 yang tegang ini. Ini adalah satu perjalanan panjang, yang dilalui oleh semua orang. Bukan hanya Akak dan Mimie yang melaluinya, tapi SEMUA orang.

Akak,

Selain dari kesusahan menempuh peperiksaan demi peperiksaan, Akak juga sedang menempuh beberapa episod penting yang adakalanya suram dan adakalanya gumbira. Ini proses biasa bagi seorang gadis remaja yang sedang menuju alam dewasa. Tentunya di kala ini, Akak mengharap ada telinga yang bersedia setiap masa untuk mendengar suara hati Akak, ada bahu untuk Akak tumpang meletakkan kepala yang sarat dan berat, ada mata untuk memandang terus ke dalam mata Akak dengan penuh kasih sayang, ada suara yang akan melontarkan kata2 semangat yang amat Akak perlukan...dan ada seseorang bernama kekasih yang sentiasa ada bila2 Akak perlukan. Namun, kehidupan tidak sebegitu mudah, sayang... Selalunya kita akan kecewa kerana meletakkan harapan setinggi gunung...Tiada sesiapa di sana yang bersedia untuk menjadi segala-galanya buat kita. Akhirnya, Akak akan dapati bahawa yang ada hanya diri kita, semangat kita, kasih sayang kita...Jangan risau, itulah jalan yang ditempuhi oleh SEMUA orang.

Namun, Mama yakin, Akak akan berjaya menempuh segala rintangan dan halangan dengan kekuatan. Anak Mama ni kuat orangnya, biarpun dia mudah sangat mengalirkan airmata. Dia manja, tapi jangan dicabar kelemahannya. Dia bersemangat waja. Dia hebat. Dia rajin meminta dari Tuhan....Kesukaran tidak akan mematahkan semangat Akak untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan akhir ini...

Mimie,

SPM bakal menjelma beberapa hari lagi. Mimie kini sedang melalui satu fasa yang cukup menggerunkan. Apatah lagi anak Mama ini seorang 'high achiever'. Kesukarannya lebih terasa dari seorang yang so-so.

Mama kagum dengan semangat Mimie. Mama tidak pernah meraguinya. Tapi...tenangkan diri. Mimie akan lebih mudah menghadapi urusan Mimie bila Mimie tenang. Katakan pada diri Mimie yang Mimie akan perolehi segala yang Mimie cita-citakan, biarpun sukar.

Sesekali timbul rasa ngilu di sanubari Mama bila terkenang harapan yang Mimie letakkan dalam diri Mimie. Terus terang Mama katakan, Mama takut anak Mama nanti kecewa. Tapi, Mama akan buang jauh2 rasa ngilu itu. Mama tau Mimie mampu melakukannya. Dan Mimie telahpun buktikan kepada diri Mimie bahawa ianya mudah untuk dicapai. Teruskan usaha keras itu. Mama pasti Mimie akan berjaya.

Anak Mama ni sebenarnya terlalu lembut hatinya. Watak kasar dan bentuk badan sasa hanya luaran. Kekebalan itu cair dengan kelembutan. Mama sayangkan Mimie biar dalam apa keadaan sekali pun.

Akak,

Ingin Mama pesan, 4 lelaki dalam hidup akak adalah yang terbaik. Papa yang lembut, penuh dengan kasih sayang dan berjiwa pejuang; Mimie yang gagah, amat melindungi dan sentiasa di hadapan; Abey yang cool dengan sorotan mata tajam yang sentiasa bersedia melimpahkan cinta dan kasih sayang; dan Abo yang senyuman manisnya mampu mencairkan sesiapa yang melihat, belum lagi mendengar suaranya yang manja merengek dan memuji... Bukan semua sifat ini ada pada setiap lelaki. Jangan letakkan kesemua sifat 4 lelaki tadi sebagai benchmark dalam menilai si dia. Kita semua insan yang berbeza. Setiap dari kita adalah istimewa dengan cara kita sendiri...

Papa adalah hadiah terhebat buat Mama, biarpun dia tidak punya apa yang mampu dihulurkan oleh orang lain. Mama pilih Papa 25 tahun dahulu kerana dia adalah dia; begitu juga sebaliknya. Akak terima sidia seadanya. Dia akan menjadi tonggak kekuatan hidup Akak. Percayalah cakap Mama...

Mimie,

Mama pasti Mimie mahu mengharungi hari-hari indah di negara sejuk dengan dia... Rasanya, dia telahpun menetapkan arahnya di sana. Usaha sekuat yang boleh. Mama akan gembira melihat Mimie tersenyum riang menghadapi hari2 indah di negara sejuk itu...bersama dia di sisi...

Apapun, selamat berjuang anak2ku. Mama doakan dari jauh kalian akan beroleh kejayaan cemerlang...Senyum selalu dan tabahkan hati. Tuhan tidak akan bebankan kita dengan bebanan yang tidak mampu kita pikul...

Love u,

Mama
Ali Towers, #55, Greams Road,
Chennai 600 006 India

Monday, October 26, 2009

Kehilangan...


Uda Noi dan Ucu Non...di Singapura Julai 2009

Wak Imah dan Lala....di Shah Alam Hariraya 2009

Kami kehilangan dua orang saudara terdekat minggu lalu. Sepupu suami saya, yang saya kenal hanya dengan nama UCU NON, meninggal dunia di Melaka pada pagi Isnin. Ucu Non berusia 60 tahun. Masih teringat keseronokan kami di Singapura bulan Julai lalu...Kami tidak terlalu rapat, kerana terpisah oleh jarak, cuma Ucu Non seorang yang lucu, baik hati, lembut dan berhemah tinggi. Suami saya amat menyenanginya dan hubungan mereka sentiasa disulami dengan gelak ketawa. Saya sendiri amat terhibur bila Ucu berada bersama kami. Sikap beliau yang wise, gentle dan humble, mengagumkan saya.

Pagi hari yang sama, sewaktu Boss ke Melaka menziarahi jenazah Ucu, saya pula mendapat khabar Wak Imah, emak saudara saya, tenat di ICU. Saya yang sedang pening dengan keadaan Jimie, bertambah pening dengan berita yang diterima. Saban hari kemudiannya saya menziarah Wak Imah yang akhirnya disahkan 'brain dead'. Hari Khamis, Wak Imah dibawa pulang dan kami cuba luangkan seberapa banyak masa untuk bersama beliau.

Saya telah berjanji dengan seorang teman untuk ke selatan tanahair, memenuhi permintaannya untuk saya sama2 menjayakan sebuah rancangan. Namun, hati saya berat untuk meninggalkan Wak Imah yang terlantar. Awal pagi Sabtu, sedang saya bersiap untuk ke Johor, saya mendapat khabar pemergiannya... Seorang wanita yang penuh dengan senyuman. Tutur kata beliau sentiasa lembut. Wajah ayu beliau tidak pernah lapuk dek zaman...

Semoga Allah menerima kedua manusia hebat ini dengan segala kebesaranNya.

Saya juga doakan agar Wak Jah, yang semakin tidak sihat di Meru, sentiasa dalam peliharaan Allah. Airmata saya tumpah tatkala menyuap bubur ke mulut beliau...dan sewaktu beliau meminta saya mengurut tangan beliau yang agak kaku dan terketar-ketar... Terimakasih Kak Non dan Kak Wi kerana begitu tekun menjaga Wak Jah. Mudah2an saya berupaya menziarah beliau dengan lebih kerap....

Di sini, di saat begini, di kejauhan ini, saya amat merindukan semua yang menyayangi saya di tanahair... Tuhan, permudahkan urusanku. HambaMu ini lemah, Ya Allah. Kuatkanlah aku....Pelihara anak2 dan keluargaku agar tetap dalam pegangan agamaMu dan kasih sayangMu...Amin.

Sunday, October 18, 2009

Cleansing...


Jimie baru keluar dari Bilik Bedah

Lala senyum dalam kesakitan di Normah Medical, Kuching

Saya menghadapi waktu sukar awal bulan ini di India. Dalam pada sibuk dengan demo dan presentations, saya mendapat khabar Boss sakit di rumah. Selepas mendapat rawatan di hospital, Boss sembuh dan paling saya suka melihat senyuman manisnya ketika menyambut saya di KLIA... (Chennai yang kering hampir banjir dengan airmata saya...huhu.....)

Bulan Ogos lalu, saya menjalani pembedahan tangan. Abo ditahan di wad 2 kali dalam masa sebulan pada Mac dan April lalu. Pulang dari India, saya terpaksa meminta pertolongan Jamil dan Ros untuk menghantar puteri saya ke hospital kerana asyik sakit. Acute gastrick rupanya. 2 hari dirawat di Normah Specialist..

T, sahabat baik saya di India mengesyorkan saya mencari 'air' - sebagai usaha 'cleansing'. Ini kerana keluarga saya asyik sakit. Saya hanya tersenyum dan kata "yes, sir. I'll do it."

Semalam, seperti biasa pagi Ahad, saya dan Boss akan ber'dating' di Pasar Besar Kelang; membeli ration untuk seminggu. Sedang saya memilih bawang dan kentang, Jimie menalipon..."Ma...balik cepat. Tangan Mi darah banyak!!!"

Boss tekan pedal minyak selaju2nya....dan terus bawa Jimie ke DEMC. Doktor sarankan pembedahan kerana banyak serpihan kecil berada dalam luka sepanjang 7 cm itu...Ahh!!!! SPM lagi 30 hari...Jimie mula meratap. Huh...everything happens for a reason...

Saya teringat kata2 T sambil saya dan Boss termenung menanti Jimie keluar dari bilik bedah. Apakah sebenarnya yang kami alami? Cleansing? Ye...saya anggap kami sedang melalui fasa pembersihan...Kami sekeluarga sedang diuji dan ujian ini adalah untuk membersihkan diri kami.... Saya beritahu Boss apa yang saya fikir. Boss juga setuju... Benar. Inilah 'cleansing' process kami....Alhamdulillah.

Tuesday, October 13, 2009

Angan-angan...

Kita dibesarkan dengan kisah Mat Jenin yang asyik berangan2 hinggakan jatuh dari pokok kelapa. Kalau kuat berangan, apa pun tak jadi. Angan2 @ daydreaming adalah satu kesalahan dalam hidup.

Tapi, kenapa masih ada yang berangan2? Kerana...angan2 adalah satu realiti kehidupan. Bermula dengan angan2, ia menjadi cita2 dan kenyataan. Mat Jenin adalah satu contoh angan2 yang tidak kesampaian kerana ia tidak disertai dengan kerja keras dan doa untuk mencapainya.

Boss dan saya 'diraikan' oleh sekumpulan manusia hebat yang menghargai usaha keras. Rasa teruja berdiri di atas pentas, melihat flashes camera yang berkelip2 di depan mata. Hard work pays off! Saya tumpang sekaki. Boss yang buat semua...

Seseorang bercerita, dengan fakta lengkap, tentang kemungkinan mendapat pendapatan sehingga RM2.2 juta. Modal? Usaha dan dedikasi. Fokus dan bersemangat. Mulut saya terlopong. Lalu, persoalan pertama di fikiran saya...

"Apa nak buat dengan duit banyak tu? First month sure habis lah, tapi, tak sempat habis duit dalam bank, dah dapat lagi 2 juta...Eh, boleh jadi masalah ni...tak tau nak spend kat mana???"

Semua orang yang mendengar saya ketawa. Ia satu jenaka paling kelakar hari itu. Tidak pernah terbayang pendapatan bulanan ialah RM2 juta! Ia adalah angan2 terhebat...!

Saya kemudian ditempelak dengan jawapan ini, "Apa nak fikir dengan mana nak spend? Dapatkan dulu duit tu, baru pikir..."

Eh eh...betol gak. Malu! Malu!

RM2 juta sebulan = RM24 juta setahun = US$6 juta. Banyak ke? Untuk si miskin seperti saya, mati hidup balik pun tak terkejar. Tapi, untuk orang hebat seperti Oprah, Madonna, Bill Gates...US$6 juta mungkin boleh diperolehi dalam masa seminggu. Eh eh... saya nak tukar status...dari angan2 kepada cita2. Kalau semua yang disebut di atas tadi boleh dapat, kenapa saya tak boleh? Oprah tu bukan lawa pun, bukan ahli politik, bukan itu bukan ini. Dia menggunakan kepandaiannya bercakap untuk memperolehi kekayaan. Saya yang lawa sikit dari dia, (hahaha), pandai sikit, kot..., takkan tak boleh dapat US$6 juta setahun? Saya pun mula berangan-angan....sambil menyanyi lagu Ella, Gemilang, bersama-sama Boss yang makin hensem saya tengok...:-)

...bersama-sama tempuhi segala
masa gemilang akan tiba
dan kita kecapi bersama....

Boss: U are my inspiration!!!

Friday, October 2, 2009

Hacienda...di India


Hacienda yang cantik...macam cerita Zorro

Madam Zarina dan Madam Samiha

2 Oktober 2009 adalah cuti umum di India. Ia merupakan harilahir Mahatma Ghandi. Saya dipelawa oleh Madam Zarina dan Madam Samiha untuk bersama mereka menziarahi rumah ladang kepunyaan keluarga mereka di pinggir bandar lebihkurang 70 km dari Chennai.

Jalanraya yang mulanya cantik semakin lama semakin membuai2...kepala saya berdenyut2 pening. Selepas hampir sejam setengah, kami pun sampai. Pening kepala saya hilang serta merta melihat keindahan ladang yang begitu terurus ini. Ladang seluas 100 ekar diberi nama sempena nama ibubapa Madam Zarina yang maut dalam kemalangan pada tahun 70an. Di ladang ini, ada sektor sawah padi, ada sektor buah mangga, ada sektor kelapa, ada padang ragut untuk lembu2 tenusu mereka makan (lebih 50 ekor), ada kandang kambing (beratus ekor), ada sektor sayur-sayuran yang laut mata memandang, dan yang paling saya suka, sangkar burung tiung, burung merak dan burung bayan. Burung2 ini diimpot dari luar negara dan dibela di sini untuk dijual kepada penggemar. Berpuluh ekor burung tiung pelbagai warna dan beratus ekor burung bayan yang comel2 dan berwarna warni ada di sini.

Kami dibawa ke rumah ladang yang dibina sejak lima tahun dahulu. Subhanallah, sebesar istana rumah ini, dan tidak didiami oleh sesiapa. Lengkap dengan kolam renang, kolam teratai dan perabut serta kelengkapan, rumah yang mempunyai 6 bilik tidur ini membuat saya jatuh cinta. Saya terasa macam dalam ceriat Zorro...ada Antonio Banderas, Catherine Zeta Jones dan Anthony Hopkins bersama saya....Angin kuat dan cuaca redup memaksa saya untuk melupakan sakit kepala dan tidak seminit pun yang saya lalui tanpa menghargai dan mensyukuri nikmat yang Allah beri.

Kami makan, bersembang, berehat. Yang kedengaran hanya suara tiong, suara unggas, dan bunyi angin. Belalang, ulat bulu, rama2, pelbagai spesis burung menjadi tetamu di mata saya...

Kami sepatutnya pulang selepas Asar, namun banyak yang dibualkan oleh dua wanita kaya ini dengan pekerja2 mereka. Akhirnya kami putuskan untuk bertolak selepas Maghrib. Sekali lagi saya terpegun apabila saya lihat sekeping permaidani telah dihampar di atas rumput karpet di taman, dengan sejadah terbentang rapi di atasnya. Seorang pekerja melaungkan azan dan saya berpeluang, pertama kali dalam hidup saya, bersolat di bawah cahaya bulan penuh (14 Syawal), di atas padang rumput, bersama suara2 tiong yang bernyanyi... Saya tidak mampu untuk meminta apa2 lagi...hanya kesyukuran yang saya panjatkan setiap saat menghargai nikmat yang Allah kurniakan kepada saya...

Benarlah kata2 ini - enjoy your frustration. Saya rindukan keluarga saya, namun saya redha dengan urusanNya. Saya enjoy apa jua yang berlaku dalam hidup saya mengikut segala perancangan dan aturanNya....Inilah ganjaranNya. Subhanallah.

Wednesday, September 30, 2009

My dear Nabil...


Keluarga saya : Jimie (baju kotak2), Lala, Abey (baju purple). Kami di depan bersama Abo dan Wak Imah.

My dear Nabil,

Dari jauh Mama doakan semoga Abey beroleh ketenangan dan kemudahan di saat2 genting ini. Ini adalah satu saat penting dalam hidup Abey, yang hadir dalam hidup setiap orang di Malaysia; PMR.

Mama amat berharap Mama dapat bersama Abey menghadapi hari besar ini. Dan, Mama sebenarnya amat gelisah dan gundah gulana mengenang bagaimana anak Mama akan menghadapi situasi ini.

Abey,

Mama berdoa siang dan malam agar Allah berikan Abey segala kemudahan. Agar tidak disulitkan apa jua urusan Abey. Tenangkan hati dan kuatkan semangat. Abey pasti akan capai kejayaan cemerlang.

Abey anak yang cukup baik bagi Mama. Abey lahir dengan bakat, dengan keistimewaan yang tiada pada orang lain. Bakat itu perlu diasah, dibela dan dibelai supaya ia menjadi amat cemerlang. Abey pasti akan berjaya. Mama yakin.

Abey sentiasa membuat suasana tenang dengan sikap Abey yang 'cool'. Namun kadangkala sikap itu membuat kita merasa terlalu selesa. Papa, kakak dan Mimie; juga Mama, tidak suka kehidupan yang terlalu selesa. Kami sukakan cabaran. Kami bergerak pantas bila dicabar. Maafkan kami kerana kami sering buat Abey tertinggal...Abey pasti akan berjaya mengejar speed kami. Mama yakin.

Dari jauh, Mama berdoa kepada Tuhan agar Dia bukakan pintu hati Abey untuk terus berusaha, biar dalam keadaan payah sekalipun, untuk mencapai kejayaan paling cemerlang dalam PMR ini. Hadiahkan kejayaan itu buat Abey. Tunjukkan dan buktikan kepada diri Abey bahawa Abey mampu capai apa pun juga yang Abey impikan. Mama pasti kejayaan akan jadi milik Abey.

Selamat berjuang anakku. Mama rindukan senyum manis Abey. Mama suka melihat sepasang mata dengan bulu mata yang panjang melentik, melirik manja ke arah Mama....hati Mama sentiasa cair dengan mata yang cantik itu....

Mama sayang Abey, biar apa pun keputusan PMR yang akan Abey capai.

Mama.
Ali Towers, #55, Greams Road,
Chennai 600 006, India

Friday, September 18, 2009

Hari Raya..


Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin dari saya dan keluarga. Semoga berbahagia dan bergembira di hari yang mulia ini.

Saya menulis atas apa yang saya rasakan benar, tidak pernah berniat untuk menyakitkan sesiapa. Jika tulisan-tulisan saya di sini menyinggung perasaan atau menyentuh peribadi sesiapa, saya pohon kemaafan dari hujung kepala hingga hujung kaki. Bak kata Ramli Sarip...

....Aku menulis bukan kerna nama.
....Kerna sikap kasih, pada sesama insan
....Dan menyatakan kasih sayangku....

Saya gembira diberi peluang berada di sini, berkongsi rasa dengan mereka yang menyayangi dan memahami. Tulisan saya pernah membawa saya ke tahap paling bawah, pudar segala semangat dan impian saya, kerana ia disalahmengertikan. Kesempatan diambil oleh mereka yang tidak pernah gembira dengan kejayaan dan kegembiraan saya...

Namun, masih ada insan lain yang menyayangi...Saya mendapat sokongan tidak berbelah bagi melalui tulisan-tulisan saya dan saya bangkit kembali, biarpun ada kalanya perasaan saya goyang dan memilukan...

Terimakasih dan semoga hari esok lebih baik dari hari ini dan semalam....

Monday, September 14, 2009

Satu pagi menjelang raya...

Sepanjang Ramadhan ini, saya sering membantu Boss di lot promosi beliau di Kompleks PKNS Shah Alam. Jumlah pengunjung yang kadang2 teramat ramai, terutamanya di hujung minggu atau cuti umum, memaksa kami semua turun padang.

Saya suka memerhati pelanggan yang datang. Pelbagai ragam, kerenah, peel, sikap dan banyak lagi yang boleh dipelajari. Selalunya kami ambil yang cantik dan kami buang yang buruk. Ia memberi peluang untuk kami muhasabah diri, memohon keampunan dari Illahi jika sesuatu perbuatan itu menjolok mata.

Namun, satu-satunya peristiwa yang membuat airmata saya mengalir deras ialah ketika saya melayan seorang makcik, berusia sekitar 60an, yang datang bersama anak perempuannya yang sudah agak sebaya saya, untuk membeli tudung raya.

Saya cukup terusik melihat kemesraan mereka berdua. Emak malu2 ketika diusik anaknya yang memuji kecantikan si emak yang mencuba menyarungkan tudung yang penuh mengerlip2. Manja sungguh emak pada anak, begitu juga anak kepada emak.

Saya termenung sejenak memerhati gelagat mereka, sambil terbawa mengimbau kisah lama. Saya belum berkesempatan, sebenarnya, membawa emak membeli-belah bersama....

Ketika dia pergi, saya masih belum mampu membawa beliau membeli-belah.... malah beliau yang sering membelikan persiapan Raya saya...Alangkah indahnya jika saya berpeluang berjalan2 dan membeli-belah bersama seseorang yang amat saya sayangi...

Saya tersedar ketika makcik tadi menghulurkan dua helai tudung kepada saya sebagai tanda setuju. Cepat2 saya kesat airmata. Terkejut makcik ni melihat saya yang menangis... "Kenapa?" tanyanya sambil memegang lengan saya.

Saya ketawa....sambil saya katakan pada anaknya..."Jaga mak ye?" Mereka terkedu... wajah mereka penuh persoalan. Saya sambung lagi... "Saya dah lama hilang emak....". Spontan makcik tadi memeluk saya dan berkata..."Ini kan mak? Doa banyak2 untuk dia, ok?"

Memori indah beraya bersama emak dan bapak akan terus kekal dalam ingatan saya. Saya ingin bersama mereka, memeluk dan mencium mereka... Cepat benar mereka pergi...

Tuhan, berikan keberkatan buat Haji Idris Abd kadir dan Hajjah Saadiah Sujak di sana... Amin.

Monday, September 7, 2009

Lelaki dan kucing jantan

Catatan ini bukan rekaan saya - ianya hasil idea sahabat baik saya yang mengkaji persamaan lelaki dan kucing jantan.... Jangan marah ye? Sekadar catatan saja....

************************************************

Lelaki ini boleh diibaratkan seperti seekor KUCING JANTAN. Mengapa?

1) Kucing jantan suka dibelai.
~ Ya, memang lelaki suka sangat dibelai oleh perempuan, tak kira la awek ke, isteri ke, ibu ke...Memang mereka suka dibelai tetapi AWAS, mereka mungkin akan mencakar anda jika anda mengasarinya. Jadi berlembut la dengan lelaki. Mereka tak suka yang wanita kasar.

2) Kucing jantan kuat makan & cepat lapar
~ Kucing memang kuat makan & akan mudah menjadi cepat lapar. Jadi, paham ajelah, bukan setakat makanan sehariannya aje yang perlu dijaga, "makanan" batinnya juga perlu dicukupkan. Jadi, jagalah makan minumnya.
Seorang suami suka masakan isterinya. Kepada yang bertitle Girlfriend, belajarlah masak dari sekarang. Yang bertitle isteri, masak lah untuk suami jika tidak mahu dia mencari lain. Jika tak tahu, belajarlah. Tak sia-sia kalau tambah ilmu rumahtangga ni.

3) Kucing jantan kuat tidur
~ Lelaki memang kuat tidur (tp ada juga yang jenis tak kuat sngt, tp bilangannya amat sikit). Dan kerana itu, bagilah peluang kepada lelaki untuk tidur secukupnya, jika tidak, ada yang akan mengamuk lebih teruk lagi jadi seperti kucing, dia tidak akan mengamuk tetapi akan beralih tempat tidur. Anda mahu suami anda beralih tempat tidurnya ka???? Jadi, jangan kacau time dia tidur.

4) Kucing jantan kuat merayap
~ Lelaki juga sama seperti kucing (selalunya lah). Mereka gemar merayap & melepak, selalunya dengan kawan2 (ni tak sama dengan kucing). tetapi sebagai penjaga kucing, selalunya kita akan melepaskan kucing kita keluar, kerana kita tahu dia akan pulang sendiri. Begitu jugak lelaki. Agak sama kan???
TETAPI, jika kucing mahal/baka baik, selalunya kita akan mengurungnya di dalam sangkar kan. Cuba kita lepaskan dia, confirm dia akan lari sebab dah jumpa kebebasan. Kesimpulannya, janganlah "kurung" lelaki.

5) Kucing jantan mahal/baka baik makan Friskies, kucing jantan kampung makan ikan lauk nasik
~ Sama cam lelaki, ada lelaki tastenya camni, ada lelaki tastenya camtu. Kita kena faham taste lelaki itu dahulu, sebelum kita buat satu relationship dengan dia. Kite kena saling memahami.

6) Kucing jantan tak suka dipaksa
~ Ermmm, ni memang sangat2 betul. Sama cam kucing, lelaki ni amat pantang dipaksa. Dia paksa tak ape, (tengok kucing, dia akan mengiow kat tuannya selagi tak dapat makanan). Macam kucing, kita takleh paksa dia tidur, takleh paksa dia makan & takleh peluk dia dengan paksa. Nanti kena cakar babe!!! Janganlah memaksa lelaki.
Bagi dia space dia tp dalam masa yang sama pantau. Jangan sampai dia main kayu 3 plak.

7) Kucing jantan ada perasaan ingin tahu (curiosity)
~ Kalau kucing suka melihat benda-benda pelik dan lari untuk memegangnya, samalah dengan lelaki. Mereka suka mencuba benda yang baru dan benda yang tak pernah mereka rasa. Tengok sahaja Mat Gian, lebih 85% adalah org lelaki. Lelaki ni kan ada otak kan.... Lu pikirlah sendiri mana yang baik dgn yang buruk kan.

8) Kucing jantan akan merebut kawasan mereka
~ Ini selalu dalam kes lelaki samseng la ataupun Along. Nak rebut2 kawasan. Mereka nak tunjuk ego mereka. Biasa lah lelaki ni mesti nak tunjuk ego mereka. Layan!!!!

9) Kucing jantan ada yang ego/buat bolayan kat tuannya/org sekeliling
~ Kucing juga ada ego mereka. Tengok kalau kita panggil ia, "miow, miow mari sini", (kalau time ia tak lapar), mampus ia nak datang kat kita. (lainlah kalau memang kucing tu dengar kata/educated) . Kalu kita kejar, ia akan lari. Macam lelaki jugak, makin dikejar, makin dia nak lari dari kita. Nama pun lelaki, mereka takkan nak tunduk, lebih2 lagi kepada perempuan. For sure anda kenal lelaki anda, guna la bermacam cara untuk lembutkan hati mereka. Tapi bukan minta mereka tunduk dengan kita ya.. Mereka perlu dihormati.

10) Kucing jantan takkan pernah setia kat seekor kucing betina
~ Kalau diikutkan ini tak berapa sama, tp ada persamaannya. Ikut kajian, hampir 78% (berdasarkan majalah Cleo keluaran bila ntah), lelaki takkan akan kahwin dengan girlfriend pertama dia (pls note: secara specificnya bukan cinta pertama tp first girlfriend pertama dia). Begitu juga dengan lelaki yg modern (of coz) dan bkn yang conservative, selalunya tidak akan berkahwin dgn first girlfriend dia. Tetapi ada juga la species lelaki yang memang setia pada yang satu dari girlfriend pertama & jenis taknak tukar-tukar girlfriend/isteri (yang tu tak ikut perangai kucing la) .

*******************************************

Saya siarkan bukan kerana saya setuju, maaf andainya saya tersalah dan menyinggung..

Thursday, September 3, 2009

Keluarga Saya


Jika ditanya apakah antara yang paling saya sayang dalam hidup saya; saya akan jawab: Keluarga saya.

Saya ada keluarga yang besar. Adik beradik saya sepuluh orang - cukup dua tangan. Saya ada 4 abang, 3 kakak dan 2 adik. Saya anak ke 8. Bila dicampur dengan ipar duai, sepuluh jadi dua puluh. Anak2 sedara ada 35, anak sedara menantu dah ada 4, dan cucu sedara baru 2.

Adik beradik saya ni, kata orang Jawa, 'rukun'. Maksudnya, bonding kami kuat. Kami cukup rapat antara satu sama lain. Jarang sekali kami bertelagah atau bergaduh. Kami share almost semua benda bersama. Kami juga selalu berkumpul. Time cuti sekolah, kami akan bercuti bersama. Hampir satu Malaysia kami dah jelajah. Kalau bulan puasa macam ni, tiap minggu kami berbuka ramai2 di rumah lain2, ikut giliran. Lepas berbuka, kami akan solat Maghrib, Isya' dan terawih ramai2. Masa Raya pulak, kami akan berkonvoi ke rumah sedara mara - dan kami akan memakai pakaian mengikut tema. Tahun ni purple. Tahun lepas kami pakai gold. Anak2 cukup excited dengan aktiviti2 sebengini.

Walaupun 2 abang saya telah tiada, namun kakak2 ipar saya masih sentiasa bersama kami. Malah, saya tidak pernah merasa mereka ipar saya. Bagi saya, kakak ipar dan abang ipar adalah adik beradik saya.

Anak2 sedara saya ramai lelaki dari perempuan. Nakal2 belaka mereka ini masa kecil dulu. Kini masing2 dah bujang. Tinggi2 dan hensem2 pulak tu. Yang pompuan pun dah lawa2. Kalau masa kecik hitam legam, dah besar ni bukan main sweet lagi. Kebanyakan mereka ini masih belajar di universiti dan di sekolah. Bila saya kaji, ramai yang berada dalam bidang teknikal, termasuk anak2 saya. Structured betul mereka ni.

Gambar ini diambil sewaktu kami di Johor Bharu sempena perkahwinan anak saudara saya, Azizul, anak sulung kakak saya. Kami turun sebagai tukang masak, penanggah dan tukang basuh pinggan.....

Kakak2 dan abang2 saya banyak berkorban untuk saya, terutama sewaktu saya belajar di universiti dahulu. Kain baju saya, buku2 saya, duit poket saya....merekalah yang menaja. Saya tidak mungkin dapat membalas jasa mereka kepada saya. Hanya doa yang dapat saya panjatkan agar mereka mendapat kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Monday, August 31, 2009

Rasa hati seorang tua...

Kita selalu diceritakan tentang perasaan seorang tua - sensitif, mudah jauh hati, mudah tersinggung dan rasa tidak dipedulikan...

Kawan saya bercerita tentang ayah mertuanya yang baru lepas dioperasi. Dalam pada sakit, sempat merajuk kerana anak lelakinya tidak datang melawat. Lagilah terasa sakit. Kata kawan saya, susahnya nak jaga hati orang tua...

Saya termenung. Eh, saya rasa saya pun dah tua la. Entah kenapa, saya rasa jauh hati dengan.... Saya suka sangat tengok orang yang menerima hadiah; dan saya sendiri suka terima hadiah. Bukan sebab hadiah tu, tapi penghargaan tu sebenarnya....

Nak raya ni, ramai orang beli macam2 hadiah nak bagi kat emaklah, nenek lah, makcik lah, kakak lah.... Sepanjang cuti hujung minggu, saya tolong Boss di kedai. Ramai pelanggan datang nak beli selendang lah, kerongsang lah, beg lah... "Kak, cantik tak kalau emak saya pakai warna ni? Emak saya tu badan lebih kurang akak, putih2 cam akak gak...." Selalunya itulah yang pelanggan tanya.... Makanya, saya pun dengan gumbira akan beritahu apa yang saya suka...mudah2an emak/makcik pelanggan tadi suka bila terima pemberian tersebut.

Bila agaknya saya akan terima pemberian ye? Adik ada, anak pun ada, anak sedara melambak2 ramainya.... Tak pernah pun dapat....!!! (Hehehe...orang tua dah jauh hati dah ni....!)

Tuesday, August 25, 2009

Abo dan RM50

Abo dan mentornya...

Dua minggu lalu Abo mendapat RM50 dari seorang Uncle. Gembiranya dia menerima wang sebanyak itu. Katanya, "Uncle suruh Abo beli transformer".

Entah macamana, Boss ternampak pin baju berbentuk katun2 di sebuah kedai di kawasan borong. Waktu itu, saya dan Abo pun ada sama. Boss kata, "Boleh cuba jual ni. Senang nak pikat budak2." Saya pun mengiyakan saja.

Malangnya, duit di tangan tidak mencukupi. Nak ke ATM jauh pulak. Tiba2 Abo kata, "Kan Abo ada duit yang Uncle bagi? Beli lah."

Kami berpandangan sesama sendiri. Saya tanya Abo sekali lagi samada dia benar2 mahu kami gunakan duit dia. Dia kata, "Nanti Papa beli katun ni, pastu Papa jual, pastu nanti duit Abo jadi banyakkkkk!!!!"

Lalu, leburlah duit Abo RM50 digunakan untuk membeli 50 biji katun. Dia sendiri yang memilih katun2 yang disukainya. Langsung dia tidak benarkan kami pegang beg plastik tersebut pun.

Dalam kereta, Boss kata pada Abo, "nanti Papa belikan Abo transformer yang Abo nak tu ye?"

Jawab Abo, "Tunggulah bila Papa dah jual katun Abo ni, Papa belilah."

Sampai di kedai, Abo sibuk menolong untuk menyusun katun2 tersebut di atas meja. Kembang kuncup hidung dia kerana excited.

*******************************

Selepas 2 minggu, Boss kata, hampir 500 biji katun telah terjual. Dengan stok di tangan masih ada 250 biji lagi, RM50 Abo kini bernilai RM750! (Harga kos, bukan harga jual). Siapa sangka, anak kecil berusia 5 tahun sudahpun memulakan empayar perniagaannya sendiri! Agaknya, itulah yang dilakukan oleh tokey2 kaya kepada anak2nya!!!! Terimakasih Uncle K....

Sunday, August 23, 2009

New Delhi

Minggu lepas saya di India, dan saya berkesempatan mengunjungi New Delhi, ibu negara India. Delhi terletak di utara India dan mempunyai lebih dari 15 juta penduduk.

Perjalanan dari Chennai ke Delhi mengambil masa 3 jam setengah dan dari Delhi ke Kuala Lumpur, lebih dari 6 jam. Delhi sebuah metro yang lebih teratur, kemas dan bersih jika dibandingkan dengan metro yang lain di India. Tidak banyak kelihatan kawasan 'slum' di sini, dan kehidupan agak structured. Kebanyakan penduduk Delhi kakitangan kerajaan, politician ataupun industrialist. Pergerakan agak tidak terlalu pantas jika dibandingkan dengan Mumbai ataupun Chennai.

Satu perkara yang membuat saya ketawa ialah bila saya toleh kiri atau kanan, saya akan nampak anak saya, Abey ataupun Boss.....Hehehe. Wajah2 tajam dan hidung mancung merata2 di sini. Kulit mereka juga cerah dan mereka lebih lembut tuturkata dibandingkan dengan orang Chennai.

Berada di Delhi merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan saya. Saya di sini kerana saya ada mesyuarat dengan pihak Kementerian Kewangan. Saya juga mengambil kesempatan untuk bertemu dengan seorang pelanggan sementelah ada di sini. Sementara menanti masa untuk check-in, saya dibawa bersiar2 di sekitar bandar Delhi. Masa yang singkat saya gunakan sepenuhnya dan saya berharap agar dapat kembali berada di sini bersama keluarga, tentu sekali untuk melawat Agra, yang berada 3 jam perjalanan dari sini, juga ke Rajashtan melihat keindahan kota2 dan istana lama di Jaipur, yang juga menempatkan pasar batu2 permata dari seluruh dunia...

Saya berazam untuk bersama keluarga bercuti di musim sejuk di Delhi-Agra-Jaipur-Jammu Kashmir-Srinagar (kaki Himalaya)....

Sunday, August 16, 2009

Ceramah Kerjaya di UiTM Segamat

13 Ogos 2009, saya diberi peluang untuk memberi ceramah kerjaya kepada penghuni kampus UiTM Segamat. Program yang dikendalikan bersama oleh Pusat Kerjaya dan Kaunseling dan Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Johor merupakan satu cara pembelajaran berdasarkan pengalaman yang tiada dalam mana2 penerbitan.

Saya teruja namun resah dan takut kerana saya perlu berucap di hadapan pelajar universiti yang hebat2 belaka, dan yang paling membuat perut saya banyak 'butterflies' ialah kerana di sebelah saya nanti adalah Professor saya, dan di hadapan saya, kawan saya, Nur Syuhada juga anak saudara saya, Sarah. Kehadiran Boss dan ABo yang menemani saya juga akan menambah kekalutan saya...

Pihak UiTM menempatkan saya di sebuah hotel comel di bandar Segamat (kali pertama saya di Segamat), dan saya dijemput oleh pemandu UiTM untuk ke kampus yang nyaman itu. Teruja yang amat sangat saya dibuatnya kerana kami disambut oleh 'riders' dan kemudiannya bagaikan star, saya disambut meriah oleh barisan anak2 muda pemimpin MPP. Ramainya yang hadir...

Saya kongsikan bersama anak2 pelbagai kisah di sepanjang kerjaya saya di India dan di Malaysia, juga sejarah hidup saya yang tidak pernah dibenarkan keluar dari Kelang oleh kedua ibubapa saya dahulu, namun kini saya membina kerjaya di negeri orang. Kadang2 anak2 ini bertepuk dan bersorak bila sesekali saya buat lawak, soalan2 mereka juga lebih menjurus kepada bagaimana saya bina kekuatan diri; apatah lagi saya bayangkan kepada mereka yang saya punya kehidupan keluarga bahagia, kerjaya yang baik dan kekasih yang setia...

Saya kongsikan bersama mereka yang saya seorang pengecut, namun saya beranikan diri kerana yakin Tuhan akan mudahkan segala urusan saya dalam apa juga yang saya lakukan. Saya ingin anak2 ini tahu bahawa keseluruhan bumi ini milik Allah, dan mereka berhak untuk mencari rezeki walau di ceruk mana sekalipun. Yang penting, jadi diri mereka sendiri. Jangan gadaikan kehormatan dan keimanan mereka dengan wang ringgit dan kedudukan. Tiada apa yang perlu ditakutkan jika kita yakin dengan sepenuh hati yang Tuhan ada bersama kita.

Saya berpesan kepada anak2 ini tentang betapa pentingnya untuk mereka patuh dan taat kepada ibubapa, mereka juga perlu melompat lebih tinggi untuk dikenali dan diingati, mereka perlu menjadi the creme de la creme kerana persaingan di luar amat sengit, mereka perlu belajar konsep 'learn, re-learn and un-learn', mereka kena faham dan hayati konsep redha dan tawakkal, harus mengambil peluang, kena cabar diri dan keupayaan supaya mereka lebih kreatif dan menjadi lebih baik, selain dari kenyataan bahawa hidup ini adalah mengenai pilihan... Dan, yang paling penting, mereka harus banyak meminta kemudahan dari Yang Maha Kuasa.

Sedar tak sedar, 2 jam berlalu dengan pantas. Anak2 ini masih tidak berganjak dari tempat duduk mereka. Malah, kehadiran bertambah hingga penuh keseluruhan dewan. Saya gembira apabila diberitahu bahawa kebanyakan pelajar benar-benar inspired dengan cerita2 saya. Saya doakan mereka berjaya menjadi insan terbilang dunia dan akhirat.

Saya juga pasti UiTM Johor akan bertambah makmur dan mewah di bawah pentadbiran kakitangan yang penuh dedikasi. Saya bangga kerana sahabat saya, Prof MKI telah berjaya dalam memakmurkan kampus indah itu, terutamanya Masjid As-Syakirin yang tenang dan nyaman.

Sebelum pulang ke Shah ALam, saya sempat berpusing2 di dalam kampus dan singgah sebentar di masjid untuk dhuha. Ramai juga yang kenal kami, hai...terasa fofular lah pulak...

Saya pasti akan datang lagi ke UiTM Segamat jika diundang....terimakasih kerana memberi peluang kepada saya untuk memberi...

Thursday, August 6, 2009

Carpal Tunnel Syndrome

selepas dibedah...
apa yang disiat? nerve...tunnelnya dipotong

eee...geli kan?
Isnin 3 Ogos 2009, saya dibedah oleh Dr Mahmud Musman di Darul Ehsan Medical Center, Shah Alam. Tangan saya kebas2, lenguh, bengkak dan tidak boleh diangkat. Dr kata, 'nerve compression' yang juga menyebabkan bahagian belakang saya sentiasa sakit; hingga ke pinggang dan punggung. Kemudian, dia sarankan saya jalani pembedahan yang simple: 20 minit, dan hanya 2 cm. Rupanya... tengoklah sendiri ye???

Ini adalah sindrom yang biasa terjadi kepada mereka yang menggunakan jari jemari untuk kerja2 delicate seperti menaip, main piano, menjahit...dan ianya disebabkan oleh mechanical defect...
Gambar2 ini diambil dari internet...bukan yang sebenar, kerana saya dibius keseluruhannya. Pembedahan berjalan lebih dari sejam, dan saya hanya sedar 2 jam kemudian....lepas tu, tangan saya masih belum dapat digunakan hingga kini....Saya akan kembali bekerja selepas 14hb...di India.

Thursday, July 30, 2009

Di harijadi....

Esok, saya akan melangkah ke usia yang baru. Saya mula merasa betapa tuanya diri ini, namun saya redha dengan segala yang diturunkan kepada saya.

Dalam kesibukan, saya pastikan saya dapat meluangkan masa melakukan apa yang saya suka. Hanya satu harapan saya, Tuhan terima pengorbanan saya dan ia dikira sebagai antara satu dari 3 perkara yang akan saya tinggalkan selepas saya pergi nanti - ilmu yang diamalkan.

Saya akan ke India minggu depan selama dua minggu. The ball is rolling and it is my responsibility in ensuring that the team can make the touchdown within the playing time. Sebelum ke India, saya akan habiskan dua hari bersama anak2 muda yang dambakan ilmu; hanya sedikit ini yang saya ada, dan saya akan kongsi bersama mereka. Pulang dari India, saya akan bercakap di hadapan lebih ramai anak muda, juga untuk berkongsi ilmu yang sedikit itu buat bekalan mereka.

Harapan saya di harijadi yang ke 44 ini: mudah2an Allah meningkatkan makam redha di hati saya. Saya ingin terus menjadi Suria yang membakar diri menerangi segenap pelusuk dunia ini, tanpa jemu dan kecewa, hanya redha. Saya pohon dari Yang Maha Esa kekuatan iman dan kecekalan hati untuk terus tabah menghadapi dugaan, rintangan dan apa jua yang mendatang. Saya juga pohon agar Dia terus merahmati kerukunan keluarga saya - suami yang setia dan penyayang, anak2 yang cemerlang dan tentu sekali, saya akan sentiasa menadah tangan di hadapanNya supaya diberi kemudahan, kedudukan yang tinggi dan kemuliaan - di dunia dan di akhirat.

Tuesday, July 21, 2009

Gambar2 majlis perkahwinan

Pengantin yang sama cantik sama padan - Siti Hajar dan Danial
Emak pengantin - Kak Kiah
Abang Ali dan Kak Yati
Abang Itam dan Kak Shida
Ayu dan Kak Yati
Ijad dan Mala
Makan lauk sedap di rumah Abang Itam bersama sepupu2 veteran
Abo bersama jelitawan - The twins, Masyita dan Sumayah
Boss dan Abang Itam - kembar seiras
Abo di hadapan pelamin: ala-ala Ayat2 Cinta
Uda Noi dan Ucu Non - dua sepupu veteran Boss dari Melaka
Mengintai dari tirai kamar....

Majlis perkahwinan di Singapura

Hampir 15 tahun saya tidak berkunjung ke negara jiran yang amat hampir ini. Jumaat lepas, saya, Boss dan Abo dengan besar hati memenuhi undangan ke majlis perkahwinan anak Kak Kiah, sepupu Boss (emak Kak Kiah dan bapa mertua saya adik beradik).

Kami bertolak dari Shah ALam seawal jam 630 petang. Kami menaiki bas terus ke Singapura. Jam 11 malam, kami tiba di Check point Woodlands. Kami disambut oleh Abang Itam, dan dibawa terus ke Bukit Batok, rumah Kak Kiah. Sesampainya kami di sana, hampir kesemua sepupu Boss, sedang tersenyum menanti kami. Ucu Non, Uda Noi dan Kak Ani dari Melaka telah tiba terlebih dahulu.

Pukul 330 pagi, kami makan nasi!!! Lauk yang memang sedap, pucuk ubi tempoyak campur petai, asam pedas dan ikan goreng. Malangnya, badan penat dan mata yang mengantuk membuat kami hanya makan sekadar yang mampu.

Kami kemudiannya dibawa ke rumah Abang ALi dan Kak Yati. Cantiknya rumah dia.... Tenang je perasaan bila melangkah masuk... Sedar2 kami bangun Subuh dan terus tergolek balik. Pukul 9 lebih, kami bersarapan di AL-Ameen Restoran. Sedap sungguh Abo makan Puri. Pertama kali saya merasa 'kacang pol'. Memang best.

Petangnya, majlis akad nikah. Boss sibuk jadi camera man. Saya penat mengejar Abo ke sana ke mari. Makanan lazat sekali lagi menjadi tumpuan kami. Lauk2 ayam masak kicap, nangka muda masak lemak dengan ikan masin, sambal tempoyak, ikan masin, sambal sotong dan macam2 lagi makanan. Saya memang cukup seronok dapat makan... hehehe.

Selesai akad nikah, kami menyibukkan diri membantu mana yang patut. Malamnya, makanan istimewa yang dihidangkan untuk tetamu adalah pulut kuning dan rendang dan mee Vietnam yang dimasak oleh Kak Rodi, adik Kak Kiah. Berdesing telinga sebab tergigit cili padi, tapi saya berani bertaruh, ia adalah antara masakan yang amat sedap pernah saya rasa....Kami kemudian mengambil kesempatan untuk explore kawasan Jurong, ada shopping kompleks di sana. Lepas jalan2, ABo nak makan McDonald. Alamak...halal ke? AKhirnya, kami belikan selepas diyakinkan bahawa McD halal oleh anak2 sedara yang comel2: Saliza, Salina dan Suhana. Mahal seh!!!(Lepas convert Sing $ ke RM!!!).

Abo yang kepenatan mula buat hal. Mengamuk dan menjerit sebaik terjaga dari tidur. Macam nak runtuh bangunan flet tersebut. Ada yang ingat dia kena sampuk, ada yang ingat dia sakit... Hidungnya berdarah, mungkin kerana terlalu penat dan kurang air. Akhirnya, Ijad, adik bongsu Kak Kiah dengan rela hatinya menghantar kami pulang ke rumah Abang ALi. Lega....

Keesokannya, kami ke rumah Kak Kiah bersama Ayu menaiki teksi. Sarapan pagi - lontong. Fulamak!!! Best! Berkali2 saya pesan pada Abo supaya kurangkan berlari. Di pagi itu, ada marhaban, dan sekali lagi, makanan tengahari...mak ooii...memang sedap. Beriyani dan yang paling saya suka, the desserts...ada macam2 kuih, bubur cha-cha, ice-cream, buah2an... Kami (Ngah Izah, Andek Eton, Uda Noi dan saya, makan dan makan dan makan tanpa henti....!)

Sedang pengantin bersanding, kami dihidangkan dengan tarian tradisional Melayu oleh kumpulan penari. Macam cerita melayu zaman Nordin Ahmad pulak... Jamuan di sana mengambil masa yang lama; dari pukul 11 hingga pukul 5. Kalau di sini, jam 3 tetamu dah hampir tiada...

Lepas siap berkemas, kami mengambil keputusan untuk balik ke rumah Abang Ali, takut ABo mengamuk lagi. Lepas sekali lagi makan McD, Abo terus tidur, dengan mak dia sekali!!!

Keesokan paginya, kami bersarapan Mamak style dan oriental style. Ayu masak cara Turkey, dan seperti biasa, bagi saya ianya sedap.... Kemudian kami ke bandar berjalan2 dan tengaharinya kami ke rumah ABang Itam dan Kak Shidah. Mak ooii...besarnya rumah dia!! Cantik pulak tu. Kami tunggu kedatangan sepupu2 veteran dan sama2 makan nasi lauk ikan pindang, sambal udang, ikan masin dan sambal belacan.... Bertambah2 semua orang makan sambil bergurau senda, terutama sekali menyakat Andek yang mulanya malu2 kucing.

Kami kemudiannya ke airport menghantar sepupu2 veteran kami yang menaiki kapalterbang pada pukul 6. Sejurus kemudian, kami ke down town, menjelajah Mustafa Center. Mencari apa yang boleh dijadikan ole-ole buat anak2 yang ditinggalkan...

Kemudiannya, makan lagi!!! Murtabak ayam yang besar gedabak di Zam-Zam dekat2 dengan Arab Street, depan masjid... Berdebar juga sebab takut lambat ke airport, tapi ABang ALi pecut dan kami check-in tepat pada masanya....

Penerbangan AIrAsia mengambil masa hanya 50 minit. Kami sampai di LCCT pukul 1010 malam dan tiba di rumah membawa kenangan manis pada pukul 11 malam...

Terimakasih buat semua yang berkenaan - Kak Kiah, pengantin Hajar dan adiknya Taufek; Kak Rodi dan Abang Ayub serta anak2; Abang ALi dan Kak Yati serta Sumayah dan Masyita; Abang Itam dan Kak Shida serta Umairah, Hasan, Mastura dan Musa; Ayu; Ijad dan Mala serta Saliza, Salina, Arash dan kembar yang saya lupa namanya... Hanya Tuhan yang mampu membalas kebaikan kalian. Saya dan keluarga berharap kita akan bersama lagi di suasana yang lebih indah....

(Nanti saya akan post-kan gambar2...)

Monday, July 13, 2009

Tuhan saja yang tahu

Beberapa bulan lalu saya berdepan dengan masalah yang agak menekan perasaan saya. Saya rasa itu adalah satu dari banyak peristiwa yang amat mengganggu emosi dan personaliti saya. Ramai kawan yang memujuk dan memberi perangsang, namun ada seorang hamba Allah yang mengatakan ini kepada saya, "Puan, apa yang terjadi hari ini mungkin amat buruk bagi Puan, tetapi siapa tahu, beberapa tahun akan datang, Puan akan menghargai kejadian hari ini? Terimalah ia dengan sepenuh hati. Tuhan tidak pernah cuba untuk menyakiti hati kita."

Kata2 di atas menyentuh perasaan saya. Saya akur dengan kemahuanNya dan saya redha. Kini saya boleh menyabarkan diri sendiri dan menerima apa jua yang berlaku seadanya.

Hari ini, saya teringat kisah saya waktu kecil2 dahulu. Nama saya, bukan nama biasa orang Melayu. Adik beradik saya semuanya bernama melayu @ islam, contohnya, Abu Bakar, Mohd Aris, Norainon, Siti Hafsyah...sedangkan saya??? Dari kecil saya diejek rakan2 sekampung dan rakan2 sekolah kerana bernama India. Bahkan saya pernah diperli oleh seorang pegawai sewaktu menjalani temuduga kerja dahulu. Kenapalah saya dinamakan sedemikian rupa? Itu persoalan yang menjadi igauan saya di sepanjang usia saya. Guru2 di sekolah dulu kata mungkinkah saya ni berketurunan India? Dalam masa sama, rakan2 selalu mengejek yang saya anak angkat India...tapi, hidung saya kemek dan muka saya bulat? Sedangkan orang India hidung mancung dan muka bujur cantik...

Kini, saya amat mengerti bahawa sesungguhnya, Tuhan saja yang tahu kenapa saya dinamakan dengan nama yang berbunyi India... Nama saya bermaksud "Matahari yang paling besar" dalam bahasa sanskrit dan bahasa Tamil. Di sepanjang pengalaman saya berada di bumi India, nama saya diterima secara spontan dan saya terasa disanjung hanya kerana saya punya nama yang amat tinggi nilainya di mata masyarakat India. Mereka memandang saya seolah2 saya ini adalah sinaran yang menerangi kehidupan orang lain.... Best kan?

Siapa sangka, selepas 44 tahun saya membawa nama bertuah ini, (nama ini sering membuat saya rendah diri, jauh hati namun kadang-kala saya bangga kerana ia membuat saya terkenal!), saya amat berbesar hati dengan arwah Bapak saya. Jika dia ada hari ini, pasti dia akan tersenyum kerana nama ini semakin dikenali di India....dan agak sebati dengan masyarakat di sana. Hahahaha...... (Istilah apa ada pada nama tidak boleh diguna pakai dalam konteks ini).

Monday, July 6, 2009

Peluang

Semalam, 6 Julai 2009, merupakan hari bersejarah buat saya, secara peribadi. Saya dan rakan2 berjaya dalam menganjurkan "JV Signing Ceremony" di hotel Taj Coromandal, Chennai, India. Jemputan yang datang, wow!!! penuh sesak dewan Ballroom. Pihak Press juga memenuhi ruang. Bosses dari Malaysia dan Singapura turun memeriahkan majlis. Siap ada majlis penganugerahan (Big Boss saya disarungkan shawl yang diperbuat dari bulu kambing yang hanya ada di puncak gunung di Kashmir, harganya...boleh dapat sebiji motosikal...!). Orang2 kaya dan business owners di Chennai pun turun...

Saya, dalam baju kurung batik, menyibuk berucap di sebalik rostrum. Kecut perut dan suara macam nak tak nak je keluar... Lepas tu, dikerumuni oleh pihak Press. Dan, selepas itu, puluhan manusia datang mengucapkan tahniah dan harapan agar saya dan syarikat yang saya baru tubuhkan (bukan milik saya. Ianya sebuah syarikat usahasama Malaysia-India, 70:30, dengan modal permulaan lebih RM6 juta. Saya hanya seorang kuli yang diberi amanah untuk menerajui syarikat ini.)

Selepas majlis gilang gemilang itu, kami kemudiannya menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah. Saya bukan salah seorang darinya, saya hanya seorang kuli yang bertanggungjawab untuk memberi lapuran.... Dari situ, kami ke rumah salah seorang pengarah syarikat yang juga pengarah dan pemilik puluhan syarikat lain, untuk high-tea. (Lunch kat hotel...briyani etc). Mamat ni Indian yang English educated, jadi dia ada English taste yang very expensive. (Dia asyik puji baru kurung batik Terengganu yang saya pakai...). Makanan yang dihidang punyalah sedap, pinggan mangkuk oriental, napkin Givenchy, sudu bersalut emas, etc etc.... Best kan? Dunia...!!!! Hahaha....!!!

Malam tadi, kami dijamu oleh 'bapak' saya kat sini, Mohamad Hasan namanya. (Beliau juga pemilik dan pengarah berpuluh syarikat. Dulunya seorang saudagar berlian). Di rumahnya lah saya selalu menghabiskan masa saya bersama keluarganya setiap kali saya di sini. Banyaknya makanan....Briyani kambing, kimma, ayam tandoori, ikan bakar, dan pelbagai dessert yang dihidangkan...Memang enak-enak belaka...

Pagi ini, bila saya lihat wajah di cermin, saya nampak 'dark circle' di bawah mata saya, kulit muka mengelupas, uban mula menampakkan diri...dan betis saya...mak ooii...penatnya!!!

Inilah peluang yang saya perolehi. Inilah nikmat yang Tuhan beri. Siapakah saya untuk mendustakan nikmat Allah?

Tuesday, June 30, 2009

Sahabat baik

Di kejauhan ini saya teringatkannya. Seorang sahabat paling baik pernah saya ada. Kami bertemu di awal usia remaja, sewaktu sama2 di tahun pertama di universiti.

Dia pemalu. Hampir tidak pernah berbual dengan wanita. Saya juga begitu...amat pemalu... Aww!!! Maklum saja masih di semester satu... Namun, kami seakan ada chemistry. Setiap hari kami bertukar senyum lalu akhirnya, kami mula mengenali dan mengambil berat tentang diri masing2.

Hari demi hari, persahabatan kami semakin erat. Kami sentiasa bersama, hampir setiap ketika. Waktu susah, waktu senang, dia sentiasa gembira jika berjaya menggembirakan saya. Di kala saya menerima 'pinangan' suami tercinta, dia yang dulu saya khabarkan. Bila dia katakan 'ye', saya gembira. Kerana saya tahu dia hanya memilih yang terbaik buat saya.

Dia pernah bertumbuk kerana mempertahankan saya. Dia pernah difitnah dan dihina kerana menyebelahi saya. Dia seorang yang amat saya sayang, sebagai sahabat, sekian lama.

Hari ini, sahabat saya menulis sesuatu kepada saya. Dia buat saya menangis, kerana dia sentiasa yakin dengan kekuatan saya, sedangkan saya seakan kehilangan semangat untuk terus bertahan. Dia seolah tahu saya amat memerlukan sokongan, dan dia memberikannya kepada saya pada waktu yang amat saya perlukan. Dia yang terlalu sibuk dengan kerjayanya yang menjulang, masih ada masa untuk saya yang bukan siapa-siapa di dalam kehidupannya.

Terimakasih, wahai sahabat. Di manapun engkau berada, doaku sentiasa bersamamu. Semoga kita sama-sama beroleh kejayaan di dunia dan akhirat. Amin.

Monday, June 29, 2009

Di perantauan

Baru saya rasa bagaimana sakitnya merindu. Pagi petang siang malam saya merindu. Kosongnya hati ini tiada siapa yang tahu. Di pejabat saya terasa sunyi, di rumah lagi sunyi.

Saya rindukan kehidupan saya. Kehidupan saya berkisar di kalangan anak2 saya, suami saya, kucing2 saya, pejabat saya, kawan-kawan saya, adik beradik saya, bahasa saya, pakaian saya, makanan saya.... Di sini, saya kehilangan kesemua itu. Biarpun kehilangan itu diganti dengan kehidupan sosial yang lebih menarik, namun ia seolah tiada makna...

Setiap malam saya akan tidur bertemankan teddy bear Abo yang berbau Abo. Busuk tetapi menenangkan. Buku2 menemankan saya biarpun saya bosan untuk membacanya lagi. Internet sahabat rapat saya dan saya akan naik darah jika saya tidak dapat connection. Berulangkali saya buka laman facebook saya untuk berkomunikasi dengan kawan2. Saya habiskan paling sedikit 100 Rupee sehari membuat panggilan talipon ke anak2 saya...hanya untuk mendengar suara mereka yang akhirnya membuat saya menangis!

Baru kini saya faham apa yang dimaksudkan dengan rindu... Boleh jadi gila dibuatnya!

Thursday, June 25, 2009

India - Class of its people

Penduduk India ada lebih dari 1 Billion orang. Dari jumlah ini, 30% dari mereka berada di "below poverty line" yang bermaksud mereka tidak mampu untuk menyiapkan biarpun sepinggan makanan sehari. 30% dari penduduk India adalah dari golongan atasan, 30% lagi golongan bawahan dan hanya 10% golongan pertengahan.

Keadaan ini menyukarkan seseorang untuk keluar dari dunia mereka. Jika mereka dilahirkan sebagai petani, amat sukar untuk mereka menjadikan diri mereka jurutera. Ini kerana pendidikan di India amat tinggi kualitinya; maka hanya yang kaya mampu menghantar anak2 mereka ke sekolah yang baik untuk akhirnya melayakkan diri mereka memasuki universiti terbaik dan seterusnya menjawat jawatan tinggi.

Saya punya seorang kenalan yang berjawatan tinggi, muda, berasal dari golongan atasan namun baik hati. Dalam usia baru mencecah 30 tahun, beliau mampu memiliki apa yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia - ijazah kejuruteraan, MBA, kereta mewah, rumah besar dan beberapa aset yang dimiliki hasil usaha sendiri. Biarpun beliau dilahirkan kaya, namun beliau lebih suka jika beliau berjaya atas usaha sendiri.

Saya kagum dengan semangat yang beliau tunjukkan. Saya akan mengunjungi keluarga beliau di Bangalore satu hari nanti bersama anak2 saya untuk mereka hayati sendiri bagaimana seorang yang penuh dengan semangat mampu membina kejayaan dalam usia muda. Persaingan yang hebat di kalangan penduduk India memaksa mereka menjadi 'lebih berjaya' dari orang lain dan untuk menjadi berjaya, mereka melompat lebih tinggi dari orang lain.

Sunday, June 14, 2009

Melompat lebih tinggi...

Wajah2 ceria anak2 saudara saya, melompat dengan tinggi sekali.


Kita berlari dan teruskan bernyanyi
Kita buka lebar pelukan mentari
Bila ku terjatuh nanti, kau siap mengangkat aku lebih tinggi

Seperti pedih yang telah kita bagi
Layaknya luka yang telah terobati
Bila kita jatuh nanti... kita siap tuk melompat lebih tinggi

Bersama kita bagai hutan dan hujan
Aku ada karna kau telah tercipta aaa aaaaaaaaa......

Chorus:
Kupetik bintang, untuk kau simpan
Cahayanya tenang, berikan kau perlindungan
Sebagai pengingat teman
Juga sebagai jawaban
Semua tantangan ........

Sebelum waktu memisahkan detikku, detikmu
Sebelum dewasa, menua, memisahkan kita,
Degupan jantung kita akan selalu seirama
Bila kau rindu aku ku...

(Sheila on 7)

Thursday, June 11, 2009

Impian

Setiap manusia punya impian. Sejak kecil kita bermimpi untuk menjadi itu dan ini dan mempunyai itu dan ini. Setelah dewasa, pelbagai yang kita jelajahi dan selalunya kita lupa pada impian yang kita pahatkan di dalam hati...

Apa agaknya impian saya sewaktu kecil? Rasanya saya selalu berangan menjadi puteri raja. Punya segala yang cantik2 belaka. Ahhh...impian anak penoreh getah yang membesar di antara pokok getah dan semak samun....

Sewaktu remaja, saya berangan untuk menjadi orang pandai. Jika saya pandai, sudah pasti saya akan berjaya memegang jawatan tinggi dan bergaji besar. Rupanya, saya tidak menjadi orang pandai...makanya, saya tidak mampu berjawatan besar dan bergaji besar...

Setelah dewasa saya bermimpi untuk memiliki itu dan ini, namun saya hanya mampu memiliki ini tanpa itu.

Kini, saya hampir tiada impian. Semuanya telah berkubur. Malah, saya sendiri tidak tahu di mana saya kuburkan impian2 saya. Saya sedang belajar mencipta impian sekarang ini. Saya ingin capai sesuatu dalam kehidupan yang semakin singkat ini. Jika saya mahu, saya pasti jadikan ia satu kenyataan. Jika saya buat, saya pasti mampu dapat!

Monday, June 1, 2009

Selamat Harijadi, Abo...





Hari ini, genap lima tahun usia si comel ini. Pagi tadi dia tersenyum simpul bila dikejutkan dengan panggilan talipon dari Akak Lala yang berada jauh di Malaysia.

Dia mengisi kehidupan kami dengan keletah dan senyumannya yang cukup manis. Dia hadir menjadi pelengkap kehidupan kami.

Saya ingat lagi momen2 bersejarah sewaktu saya merasa bahawa saya mengandung. Pengalaman yang telah lama saya lupakan, kerana kali terakhir saya mengandung adalah pada tahun 1994. Saya sedang memandu pulang ke rumah bila saya ternampak ada makcik jual buah kat tepi jalan. Keinginan yang membuak2 membuat saya pusing satu round untuk kembali ke tempat makcik tadi, namun hampa kerana buah yang saya nampak tadi telah habis...buah tembikai. Saya pandu lagi ke kedai2 lain, dan dalam kehampaan, saya sms Boss minta dia carikan buah tembikai untuk saya.

Bila Boss pulang tanpa tembikai, saya jadi jauh hati dan mula menangis. Dalam pada itu, saya tertanya2 mengapa saya ada perasaan sedih tersebut... Boss pun pelik. Tak pernah dia lihat saya merajuk dan menangis hanya kerana tidak dapat makan tembikai...

Selepas dari insiden buah tembikai, Boss makin pelik kerana saya langsung tidak mahu masuk ke kedai mamak. Saya asyik kata busuk dan sentiasa mahu muntah tiap kali saya cuba masuk ke kedai mamak. Ini dah lebih....!

Boss yang curious dan saya yang tertanya2, mula berfikir.... Makanya, kami singgah ke Guardian membeli sesuatu. Alamak!!! It showed the + sign!!! What? Pregnant? At this age? Apa nak jadi? Apa kata orang? Macammana nak face? Larat ke? Boleh ke??

Tersenyum kakak2, abang2 dan adik2 saya mendengar berita gempar... Satu lagi'Anak orang tua' bakal lahir ke dunia... Apparently, hampir kesemua adik beradik saya, juga ipar saya, ada 'Anak ornag tua'. Arwah mak mertua saya tersenyum simpul... Malunya!!!

Lala, Jimie dan Abey ada mixed reaction. Mujurlah kandungan saya cukup kuat dan mudah. Teringat wajah Boss bila Dr Suzet kata, "It's another boy!!!". Kelat je... hehehe.

Namun...tepat jam 630 petang 1 Jun 2004, lahir si comel ini ke dunia. 9 bulan saya mengandungkannya tanpa sebarang kesulitan. Cukup mudah mengandungkannya dan cukup mudah saya melahirkannya. Wajahnya yang manis, senyumnya yang menawan, kulitnya yang putih melepak menarik perhatian sesiapa yang memandangnya.

Abo atau Naufal Arif, tidak sukakan limelight. Dia very homely, sayangkan semua yang berada di sekelilingnya, dan amat suka dengan perempuan cantik!!! Sebiji macam perangai Shin Chan....!

Saya berdoa dia selamat di dunia dan akhirat. Saya pohon kepada Tuhan supaya dia diberi kemuliaan dan kedudukan tinggi di dunia dan akhirat. Saya harapkan beliau sentiasa terus mengisi kehidupan setiap orang dengan senyum manis dan baik budinya. Dan, Abo menjadi anak yang soleh serta hamba yang beriman kepada Penciptanya....Amin.

Thursday, May 28, 2009

Rindu

Aku Rindu

Aku berdiri kaku
Bersama rintihan pilu
Kehilangan kasih
Yang pergi untuk sementara

Aku dicekik duka
Dihimpit luka
Yang nyata
Aku rindu.....


***********************
Saya bersendirian kini di negara asing ini - India. Merindu permata2 hati yang jauh di tanahair. Sajak di atas adalah salah satu sajak yang saya hasilkan sewaktu saya masih di Tingkatan 4, dan pernah tersiar di majalah Mastika, kalau tak silap.

Cuaca di sini panas terik dan kering. Tiada kelembapan langsung. Situasi kerja semakin mencabar. Saya berdoa semoga saya sentiasa diberi kemudahan olehNya.

Monday, May 25, 2009

Tiga Budak Hitam

Ada 3 orang budak yang berkulit hitam. Mereka berkawan rapat dan tinggal berjiran. Satu hari mereka berjalan-jalan di sebuah kawasan dan terjumpa lampu ajaib. Bila dipegang, keluarlah jin dari lampu tersebut.

Jin memberitahu kepada ketiga2 budak hitam tersebut:

"Aku boleh tunaikan 3 hajat kamu. Satu hajat setiap seorang. Syaratnya, lepaskan aku kemudian."

Ketiga2 budak hitam amat teruja mendengar kata2 jin tersebut.

Budak hitam pertama berkata kepada jin, "Wahai Jin, boleh tak kau buat aku jadi putih?"

Secepat kilat budak hitam pertama berubah menjadi putih berseri2...

Budak hitam kedua dan ketiga pula terpegun.

Maka berkata yang kedua, "Jin, jadikan aku lebih putih dari dia dan metalik."

Serentak itu juga budak hitam kedua menjadi putih berkilat2...

Kedua2 mereka melompat gembira dan seronok kerana hajat mereka untuk menjadi cantik berseri telah termakbul.

Budak hitam ketiga berdiam diri dan selepas beberapa ketika, dia berkata kepada jin, "Wahai jin. Aku tidak mahu jadi putih. Tetapi aku mahu kau jadikan kedua2 kawanku ini lebih hitam dariku supaya hanya aku yang dikenali, bukan mereka."

Serentak itu juga budak hitam pertama dan kedua menjadi lebih hitam dari yang sebelumnya..... Bersedihlah mereka berdua, sedang budak hitam ketiga tersenyum gembira.

Begitulah manusia... Kebanyakan dari kita tidak mahu berubah menjadi lebih baik, tetapi sentiasa tidak gembira dengan pencapaian orang lain dan akan berusaha untuk menjadikan orang lain lebih buruk dari kita! Subhanallah. Subhanallah. Subhanallah. Buanglah sifat yang keji ini...

Wednesday, May 20, 2009

Aku seekor burung

Aku adalah seekor burung gemok, yang tidak berwarna dan tidak juga bersuara merdu. Aku terbang ke sana ke mari mencari makananku sendiri, mencari dahan untuk berehat dan bumbung untuk memayungiku ketika hujan.

Tempat tinggalku di dahan yang tinggi sebatang pokok besar yang rendang. Aku cukup selesa di sini. Tiada gangguan dan pemandangannya juga indah. Aku bebas ke mana sahaja dan membuat apa yang aku suka. Di bawah pokok ini ada sebatang sungai yang airnya mengalir lesu. Aku tidak tahu berapa dalam sungai ini, namun aku pasti ianya cukup dalam buat burung sepertiku....

Di dahan yang tinggi ini, aku dapat lihat indahnya langit ketika malam, indahnya suria ketika ia terbit dan aku juga merasa teriknya matahari di waktu tengahari. Dari celah2 daun, aku sering ayik memerhatikan matahari terbenam...

Sedang aku melamun, aku terasa sesuatu mengenai kepalaku. Tiba2 pandanganku jadi kelam dan kepalaku terasa pusing. Pautanku semakin lemah dan aku pun terlayang2 jatuh ke bawah... Aku menjerit meminta tolong dari burung2 lain, namun tiada siapa yang mempedulikan aku. Aku terasa diriku terhempas ke dalam air, dan perlahan2 aku tenggelam..hingga ke dasar sungai. Aku bernafas dalam kepayahan. Aku hampir lemas, dan dengan sedikit kekuatan, aku lonjakkan badanku ke atas sedikit demi sedikit. Akhirnya, aku mampu keluarkan kepalaku dari dalam air. Silau mataku terkena pancaran matahari. Sesak dadaku menahan sakit dan kecewa. Aku nampak kemudiannya beberapa ekor burung kecil berbisik2 sesama mereka sambil mencebik melihat aku yang kepayahan. Airmataku seakan mahu tumpah, namun aku pedulikan perasaan sedihku. Terdengkut2 kaki ku hayun mencari kekuatan untuk bertapak dan terbang semula.

Selepas beberapa hari di bawah, dengan sisa-sisa kekuatan yang tinggal, aku tumpukan perhatianku memandang ke 'rumah' ku di atas. Aku tidak peduli kepada mata yang merenung kepadaku. Aku tidak mahu tahu siapa yang melontar batu kepadaku hingga aku jatuh, aku hanya mahu kembali ke tempat asalku.

Aku terbang mengikut kemampuanku. AKu disapa burung2 besar yang seakan mahu menelanku, namun hati dan lidahku terus berdoa. Ya...burung sepertiku juga tahu berdoa kerana aku yakin penciptaku yang merancang semua ini. Airmataku sekali lagi mahu menitik kerana suara2 sumbang masih berbisik2 mengata aku...namun, aku dapat kembali memautkan kakiku ke dahan yang lebih tinggi dari dahan lamaku. Burung besar yang terbang jauh tinggi dariku tersenyum melihatku. Mereka kagum dengan semangatku. Mereka akui kekuatanku. Mereka percaya kepada diriku.

Aku dapat melihat awan lebih cantik dari sebelum ini. Aku merasa kedudukan yang lebih nyaman kini. Aku tidak mahu memandang burung2 kecil di bawahku lagi. Bukan aku menghina mereka, tetapi luka di hatiku yang kecil ini masih berdarah...biarpun badanku gemok, tidak berwarna dan tidak bersuara, aku adalah seekor burung. Sama seperti burung2 yang lain....punya hati, punya perasaan.